Wednesday, September 10, 2008

Tanggal 16 September…

Apabila tiba bulan September sudah pasti saya dan adik saya ini akan bertambah umur. Kami berdua berkongsi tarikh lahir yang sama yakni tanggal 16 September. Satu tarikh yang amat bersejarah apabila pembentukkan Malaysia berlaku pada tarikh ini. Dewasa ini, tarikh ini amat kontroversi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan akan membentuk sebuah kerajaan baru iaitu “Kerajaan Pakatan Rakyat”. Beliau amat yakin dengan mendakwa, telah meyakinkan sekurang-kurangnya 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah dan Sarawak untuk menyertai Kerajaan baru ini.

Memakai topi “cowboy” (Syeriff Hisham),ahaks..



Namun, entry saya untuk kali ini bukanlah untuk menceritakan berkenaan Kerajaan baru. Tetapi untuk menulis berkenaan dengan adik saya ini. Untuk pengetahuan, beliau dilahirkan pada tanggal 16 September 1994. Kalau dihitung, beliau sekarang sudah berumur 14 tahun.



Wah macam tepung “komak”..




Ibu saya



Menjadi cabaran, untuk kami sekeluarga menguruskan aktiviti harian beliau. Untuk maklumat, beliau adalah golongan OKU (orang kurang upaya), atau dipanggil juga sebagai “Down Syndrome”. Bukan itu saja, beliau juga tidak mempunyai keupayaan untuk berjalan dan berdiri. Untuk rekod, beliau pernah dimasukkan sebanyak 4 kali di hospital apabila menjalani pembedahan usus besar. Dan adalah sesuatu tempoh yang panjang apabila Ibu saya, Puan Hasnah Bt Pin menjadikan hospital sebagai “rumah kedua” apabila rawatan untuk beliau menjangkau selama 2 bulan bersamaan 60 hari. Sehinggakan Doktor dan Jururawat menjadi kawan pagi, petang, siang dan malam.



Bersama Kucingnya..



Kakak saya


Setiap pagi Kakak saya, cik Hiswani Binti Anuar akan menguruskan segala aktiviti berkaitan beliau. Adalah satu pengorbanan besar, apabila Kakak mengambil keputusan untuk tidak bekerja dan memegang jawatan sebagai “Pembantu Peribadi 24 Jam” kerana umur adik Hisham yang kian meningkat, untuk memastikan beliau sentiasa dijaga dengan begitu rapi. Ini disebabkan urusan harian seperti mandi, makan, minum, tidur dan sebagainya diuruskan sepenuhnya oleh kakak.

Apa yang menyedihkan, beliau tidak diterima untuk bersekolah. Pihak JPN menyatakan beliau boleh diterima untuk bersekolah bila mampu untuk berjalan. Sejak daripada dahulu sehingga sekarang, kami tidak pernah jemu untuk berusaha memastikan beliau mampu berjalan dan berdiri antara rawatannya ialah homeopathy, sesi urutan pakar dan pemeriksaan hospital secara berkala. Mungkin belum rezeki agaknya untuk melihat beliau boleh berjalan.

Takut duduk atas kerusi malas…

Tuan Anuar Hj. Maarof



Bapa saya, Tuan Anuar Bin Hj. Maarof dilantik menganggotai jawatankuasa “Penang Downsyndrome Association” (PDA) untuk mencari apa-apa kaedah perlu untuk adik bertuah saya ini. Pertubuhan ini, ditubuhkan untuk menghimpunkan ibu-bapa yang mempunyai anak seperti beliau untuk sama-sama berbincang dan berkongsi permasalahan untuk memastikan golongan seperti ini mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada pihak-pihak tertentu. Alhamdulillah, peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh keluarga saya untuk memastikan kemajuan Hisham.

Apa yang pasti, Hisham ini adalah anak yang bertuah sekali. Semenjak beliau dilahirkan rezeki kami sekeluarga amat murah sekali. Sehinggakan Bapa saya dinaikkan pangkat dalam bulan itu juga. Pernah kawan berbangsa cina berkata kepada bapa saya“ Anuar..ini anak manyak onggggg maaa..kalau you tak mauu ini anak you boleh kasik sama gua…”. Terkejut beruk juga saya pada masa itu!


Action…



Antara istimewanya Hisham ini, beliau begitu berminat sekali untuk mengikuti pidato-pidato politik. Yang bestnya, beliau tahu siapa yang bercakap dan yang paling dia suka ialah Tun Dr Mahathir Mohamad. Pernah satu ketika beliau tidak mahu makan apabila Tun memberikan ucapan dikaca televisyen dan akan tunggu sehingga tamat baru beliau berganjak. Antara kelebihannya, sesiapa saja yang berada dengan beliau pasti tidak mahu balik kerana Hisham ini sangat pandai bergurau dan membuatkan orang terpikat dengannya.

Walauapapun yang berlaku, kami sekeluarga akan pastikan 100% Hisham ini akan terjaga dan terbela sepenuhnya. Pengorbanan yang besar dilakukan oleh seluruh ahli keluarga saya akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Lebih-lebih lagi dibulan ramadhan yang mulia dan barakah ini.

Saya amat mengalu-alukan sidang pembaca untuk berkongsi cerita berkenaan dengan adik saya ini. Dikesempatan ini juga, saya mengucapkan selamat hari lahir ke-14 untuk adikku Muhammad Hisham. Semoga adik akan terus kuat dan ingatlah abang sentiasa ada dengan adik.

Wassalam.

Wednesday, September 3, 2008

Pulau Pinang atau “Penang”?

Kesempatan bercuti di negeri kelahiran memberikan saya peluang yang banyak untuk meninjau serta membuat pemerhatian berkenaan nasib bangsa kita iaitu kaum melayu di negeri pemerintahan kerajaan negeri DAP ini.

Bermulanya di Lebuhraya Expressway Jelutong yang baru dibina menghubungkan Bandar Baru Jelutong (tempat tinggal saya) dengan Padang Kota Lama (Ford Cornwallis) membuatkan perjalanan yang memakan masa 30 minit sebelum ini, hanya mengambil masa 10 minit dari Jelutong untuk tiba di Padang Kota Lama. Saya melihat pembangunan disepanjang lebuh raya ini bagaikan “cendawan tumbuh selepas hujan”. Pelbagai kawasan baru yang dibuka contohnya pusat komersial perniagaan dengan kondominum serta rumah teres yang berharga ratusan ribu ringgit yang membuatkan kaum melayu hanya mampu LLN bukan Lembaga Letrik Negara tetapi (Langut-Langut Naik) iaitu mampu melangut memanjangkan leher namun untuk memiliki kediaman ini jauh sekali.

Apa tidaknya, pembangunan yang dibangunkan ini tidak langsung akan membuka peluang untuk bumiputra merasai kediaman baru mampu milik. Kalau dilihat di kawasan kampung yang dikenali sebagai Telaga Rendah dan Jalan Masjid yang dahulunya menempatkan rumah-rumah kampung milik masyarakat melayu akan tetapi sekarang ini mereka dihimpit hutan batu. Tanah yang asalnya milik warisan keluarga tidak mampu lagi dipertahankan oleh pemiliknya dek dikaburi dengan wang ratusan juta ringgit.

Saya sempat untuk berbual dengan salah seorang penduduk kampung yang mengatakan “Dee (nama panggilan keluarga pada saya) lani orang cina hambat melayu dengan duit..depa ni kaya boleh buat apa saja..kita ni apa yang ada kalau tak bumbung yang dah berkarat ni”.Inilah realiti yang dihadapi oleh Masyarakat Melayu Pulau Pinang. Tidak dapat dinafikan pembangunan amat hebat di Pulau Pinang ini, namun siapakah yang menjadi pemilik sebenar disebalik pembangunan yang mantap ini. Apabila tanah diambil oleh syarikat pemaju untuk mendirikan rumah yang bernilai ratusan ribu ringgit ini mereka tidak sesekali menghiraukan sensitiviti kaum melayu. Umpamanya, tanah dan rumah yang diambil oleh pemaju, mereka akan memberikan sejumlah wang tetapi tidak pada mereka yang memiliki rumah.

Sebaliknya, pihak pemaju hanya akan menggantikan rumah yang agak tidak setimpal. Kalau dahulu rumah yang dimiliki walaupun ala kampung mampu untuk anak-anak menendang bola didalamnya akan tetapi konsep “rumah ganti rumah” tajaan sesetengah pemaju ini membuatkan “kucing pun tidak mampu berlari didalamnya”.Kata seorang panduduk “Untuk membeli rumah baru buat tu.. tujuh keturunan pun kami tak mampu, apa yang ada sangat dengan diskaun 5% untuk bumiputra”.Lebih malang lagi, rumah ganti rumah ini disiapkan dengan sungguh ala kadar bagai melepaskan batuk di tangga.Unit yang amat tidak sempurna dengan tidak sepadannya dengan rumah yang dibina untuk dijual. Perbezaannya seperti Istana dan rumah kayu, diibaratkan seperti hidup dalam kotak sahaja. Hidup dalam buangan pun mewah!!

Sementelah itu, kalau dihitung penduduk melayu di Pulau Pinang ini boleh dikatakan agak kurang juga daripada 15 tahun yang lepas. Seolah-olah berlaku satu strategi yang cukup licik untuk “menghalau” melayu Pulau Pinang .Ini dapat dilihat apabila pertambahan populasi penduduk melayu yang agak luar biasa di Sungai Petani, Kulim dan Kepala Batas. Apakah ada pihak yang ingin menempatkan kaum cina menguasai tanah di sebelah pulau manakala kaum melayu di tanah besar?? Adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya ini terjadi. Mana tidaknya, kalau dilihat perbezaan daripada harga rumah, umpamanya rumah apartment (bertanahkan angin) di sebelah Pulau berharga RM 130,000 namun untuk rumah teres (bertanahkan bumi) di sebelah Tanah besar hanya bernilai RM 70,000.

Saya berpendapat, sesuatu perlu dilakukan oleh parti yang mewakili Melayu Islam Pulau Pinang. Sekiranya sesuatu tidak dilakukan, saya khuatir Pulau Pinang akan menjadi Singapura kedua yang akan membuatkan penduduk melayu menjadi pelarian di negeri sendiri. Janganlah! Kerana ingin menjaga kepentingan peribadi masalah umat diketepikan. Kalau ini berlaku “Rosak Umat Melayu”.

Untuk sidang pembaca sekalian, terima kasih kerana melawat dan membaca blog saya ini. Satu persoalan yang saya tinggalkan untuk anda jawab.Dapatkah anda berfikir dan menjawab persoalan Pulau Pinang untuk siapa dan Penang untuk siapa? Tepuk dada Tanya selera!!

Selamat berfikir dan menjawab.

Wassalam.