Monday, June 27, 2011

Janji manismu, pengalaman dan tips di Mahkamah Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM).




1.Pengalaman menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tribunal merupakan 1 pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Merasakan kami telah ditipu oleh seorang Kontraktor yang kononya hebat dan berdaftar dengan Kementerian Perumahan membuatkan Tribunal menjadi wadah dalam mempertahankan hak sebagai pengguna di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

2.Kisah bermula apabila saya mengesan beliau memasang penghawa dingin terpakai dirumah baru kami. Sebaik menyedari hal ini saya membuat ‘cross –check’ terhadap semua hasil kerja beliau. Selesai mengumpul bukti saya berhadapan dengan beliau. Makanya pelbagai alasan comot diberikan sehingga menampakkan dirinya seperti seorang yang berkelulusan tadika.

3.Perkhidmatan diberikan saling tidak tumpah seperti tikus membaiki labu. Dipasangnya tinted cermin, namun seperti melekat kertas menggunakan gam. Melakukan kerja kimpalan di dalam rumah sehingga merosakan seramik. Mengecat warna kegemaran beliau bukan warna permintaan kami. Menipu cat kononnnya mempunyai ketahanan ‘weathershieled’ tetapi cat kapur yang diberusnya hanya bernilai RM 30 setin. Mencomotkan lantai seperti budak baru belajar mengecat. Membuat keputusan sendiri seolah-olah rumah kami milik beliau.

4.Selepas mengambil bayaran dan kami membayar berdasarkan kepada tahap kepuasan kerja yang amat minimal, beliau berjanji untuk datang semula bagi membetulkan kembali seramik yang dirosakkan. Sebagai seorang Islam saya bersangka baik. Namun, lepas 2 minggu hilang tanpa sebarang berita. Sebanyak 20 panggilan saya tidak dijawab, 10 sms tanpa balasan.Beliau terus menghilangkan diri. Alasannya telefon hilang!

5.Ternyata beliau melalui jalan yang amat bengkok sekali. Disangkanya lurus dan tenang akhirnya berduri. Sungguh silap, berjumpa pengguna seperti kami apabila kami memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau.

6.Selepas meneliti Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta membaca dengan teliti fungsi dan perjalanan TTPM, isteri memfailkan tuntutan di TTPM Melaka. Setelah mendapat pengesahan pihak TTPM, borang tuntutan perlu di pos menggunakan surat berdaftar. Apa yang dijangka tepat apabila surat itu dikembalikan oleh Posmen atas sebab gagal diserahkan.

7.Demi mempertahankan hak, saya mengambil keputusan untuk membuat serahan tangan. Abang Zam (bukan nama sebenar), jiran sebelah rumah yang amat prihatin serta amat membantu juga seorang anggota penguatkuasa memudahkan kerja kami apabila beliau menemani saya mencari Kontraktor itu sehingga ke lubang cacing. Akhirnya, rumah beliau ditemui. Perasaan yang dipendam selama 2 bulan dapat dimuntahkan dengan jayanya dihadapan beliau sehingga Kontraktor yang ‘hebat’ itu mengalirkan air mata jantannya. Saya juga berterus terang secara baik, keputusan ini diambil bukan untuk menghukum tetapi untuk mendidik beliau supaya lebih bertanggungjawab dan beramanah selepas ini dalam melakukan kerja dan tidak lagi menjadikan penipuan sebagai hobi utama! Lebih-lebih lagi melibatkan ribuan ringgit duit orang.

8.Peluang keemasan ini digunakan saya sebaik mungkin. Janji manisnya ibarat menanam tebu di tepi bibir dirungkai dan dibentangkan supaya beliau ingat kembali akan janji yang dibuat oleh lidahnya yang tidak bertulang itu. Beliau berkali-kali memohon maaf atas alasan isterinya sakit hendak bersalin namun sudah terlambat. Saya langsung tidak mempercayai kata manis beliau lagi oleh kerana hampir 2 kali beliau memberikan alasan yang sama, sehingga ke hari ini isterinya tetap tidak juga bersalin.

9.Akhirnya, tarikh pendengaran tiba pada 24 Jun 2011. Beliau gagal hadir dan memberikan alasan isterinya sekali lagi dimasukkan ke kamar bersalin. Prosedur di TTPM, perbicaraan tetap akan diteruskan tanpa kehadiran penentang dan Presiden TTPM akan memberikan keputusan. Sungguh mahal pengalaman disini. Antara kes-kes yang boleh dikongsi.

a.Kes 1 – Melibatkan sebuah IPTS. Kes tidak dapatkan diteruskan oleh kerana surat gagal diserahkan oleh Penuntut kepada Penentang. Penuntut menjelaskan surat diletakkan di Peti Surat namun tiada bukti diserahkan terus kepada Penentang. Presiden mengarahkan Penuntut supaya mencari alamat terkini di SSM. Presiden mengeluarkan kenyataan “surat perlu diserahkan kepada orang bukan kepada bangunan”. Kes ditangguhkan.

b.Kes 2 – Berkenaan produk pelangsingan badan. Penuntut memfailkan tuntutan oleh kerana produk yang digunakan tidak memberikan kesan kepada beliau. Penuntut memohon sejumlah wang daripada Penentang. Presiden mengeluarkan kenyataan “Kalau saya bagi keputusan semuanya hanya sebelah pengguna, makanya peniaga akan tutup kedai. Saya mesti adil kepada kedua-dua pihak”. Oleh itu, Presiden mengarahkan Penentang menggantikan produk lain kepada Penuntut.

c.Kes 3 – Peniaga cuba menipu pengguna. Penuntut memfailkan tuntutan setelah memasukkan sejumlah wang ke akaun Penentang namun berkeras mengatakan duit tidak diterima. Penentang gagal hadir. Kes menyebelahi Penuntut kerana berjaya menyakinkan Presiden dengan menunjukkan slip Bank. Presiden mengarahkan Penentang membayar wang kembali kepada Penuntut.

d.Kes 4 – Hal – ehwal penjualan kereta. Penuntut hadir sebatang kara tanpa sebarang bukti dan dokumen. Hanya membentangkan tuntutan yang diinginkan. Presiden mengarahkan beliau untuk mengumpulkan bukti dan dokumen sebelum memfailkan tuntutan.

e.Kes 5 – Melibatkan perjanjian dengan sebuah agensi pelancongan. Penuntut memfailkan kes kerana tidak puas hati dengan perjanjian yang diberikan oleh Penentang dan dikatakan berat sebelah. Dipendekkan cerita, Presiden menyebelahi Penentang oleh kerana Penuntut menandatangani helaian perjanjian yang diberikan oleh Penentang sebelum itu. Disini, Penuntut berkeras kerana tidak puas hati dengan perjanjian itu. Penuntut sekali lagi berkeras mengatakan mereka tidak membaca kandungan dengan teliti dan memahaminya. Presiden menjelaskan Penuntut perlu bertanggungjawab dan apabila tandatangan diturunkan bermakna Penuntut menerima dan bersetuju segala perkara yang terkandung. Sekiranya merasakan diri tertipu perkara sebegini hendaklah diadukan kepada polis jenayah komersil. Disini, saya menasihatkan kepada pembaca sekalian supaya sentiasa berhati-hati dan meneliti sebelum menandatangani apa-apa surat atau dokumen.

f.Kes 6 – Adalah kes kami sendiri. Dipermulaan, kes kami hampir terbatal oleh kerana ianya melibatkan kerosakan. Syukur, isteri seorang pendebat pencen mampu ‘twist’ kes kepada perkhidmatan. Jadi, kes kami ini boleh diteruskan untuk dibicarakan. Alhamdulillah, sebelum itu saya telah membuat beberapa persediaan dokumen dengan lengkap. Soalan diajukan bertalu-talu dengan gaya ‘provokasi’, namun setiap soalan mampu dijawab oleh isteri dengan tajam sekali. Hingga tiada ruang oleh Presiden untuk membuang kes ini. Akhirnya, Presiden mengeluarkan award dengan mengarahkan Penentang membayar ganti rugi. Walaupun, jumlah yang diluluskan adalah 40% lebih rendah daripada yang dituntut, kami tetap bersyukur. Audien mengucapkan tahniah dan kebolehan isteri untuk mematahkan hujah Presiden. Ia 1 pengalaman amat berharga!

10.Seterusnya, sabtu lepas saya sekali lagi membuat lawatan tidak rasmi ke rumah Kontraktor kami itu. Saya menyampaikan perintah mahkamah secara tangan dan perlu ditandatangani oleh beliau sebagai akuan terima. Beliau perlu menjelaskan bayaran yang diperintahkan dalam masa 14 hari bekerja daripada tarikh serahan. Sekiranya beliau gagal, kes boleh dibawa ke Mahkamah Majistret dengan denda tidak melebihi RM 5000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun dengan mengemukakan aduan kepada Pengarah KPDNKK negeri masing-masing.

11.Untuk maklumat, pihak Penentang boleh mempertikaikan award dengan memfailkan pertikaian dalam tempoh 30 hari selepas menerima award. Dalam tempoh sekarang, kami sedang menanti tindakan beliau yang akan berakhir pada 16 Julai 2011.

12.Antara tips yang boleh diberikan apabila melakukan urusniaga bernilai tinggi:

a.Menyimpan segala dokuman berkaitan resit, sebut harga, salinan perjanjian dsb.
b.Merekod tariikh-tarikh penting semasa melakukan transaksi.
c.Berkesan sekiranya mempunyai ‘perakam suara’.
d.Menyimpan no kad pengenalan serta alamat terkini individu tersebut.
e.Mengambil identiti perlu rakan kongsi individu tersebut.
f.Meneliti maklumat individu tersebut dengan membuat rujukan dengan pihak perlu.
g.Memahami bahasa badan serta tidak mudah terpedaya dengan kata-kata.
h.Membawa saksi sekiranya perlu.

13.Antara tips persediaan sebelum menghadiri perbicaraan TTPM :

a.Kes tidak melebihi tempoh 3 tahun.
b.Jumlah yang dituntut tidak melebihi RM25000.
c.Memastikan surat sampai kepada Penentang.
d.Menyediakan dokumen selengkapnya.
e.Menyediakan gambar bermutu tinggi untuk memudahkan visual Presiden TTPM,
f.Kebolehan menjawab soalan. Sekiranya tidak yakin anda boleh membawa saksi bersama.
g.Melakukan jumlah taksiran mengikut nilai pasaran bukan sekadar anggapan.
h.Yakin dengan kata-kata di hadapan Presiden TTPM.
i.Sentiasa tenang dan tidak gugup.
j.Mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan berkenaan Akta Perlindungan Penggguna 1999.

14.Itulah sedikit sebanyak tips yang mampu saya simpulkan berdasarkan pengalaman yang telah saya lalui. Di Malaysia, masyarakat kita amat kurang kesedaran berkenaan dengan ilmu kepenggunaan. Begitu senang sekali peniaga mengambil kesempatan dengan menipu pengguna sama ada sedar atau tidak. Hakikatnya, pengguna di lindungi oleh Akta perlu dipertahankan dan digunakan.

15.Melalui pengalaman sekecil ini juga, peranan TTPM mungkin boleh diperbaiki bagi memudahkan pengguna untuk memfailkan tuntutan serta memastikan pengguna bersedia secukupnya sebelum menghadiri perbicaraan. Ini kerana, pengguna bukan seorang yang arif di dalam aspek perundangan. Syarikat atau penentang, mungkin boleh diwakili oleh orang yang arif di dalam perundangan.

16.Akhir kalam, apa yang disampaikan disini adalah untuk berkongsi dengan semua pembaca.Ianya juga adalah berdasarkan kefahaman saya. Bukan tujuan untuk mengenakan atau mengaibkan mana-mana pihak. Niat dihati adalah untuk menyampaikan kepada semua sebagai pengguna kita perlu berhati-hati sebelum melakukan sebarang urusniaga lebih-lebih lagi yang melibatkan ribuan ringgit. Keringat tenaga tulang empat kerat bukan untuk di bayar kepada si penipu!

17.Ayuh mantapkan ilmu kepenggunaan. Semoga Allah menyelamatkan kita daripada menipu dan melakukan penipuan!