Monday, March 23, 2009

Perhimpunan Agung UMNO

Minggu ini merupakan minggu penentuan. Debaran demi debaran dirasai oleh Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, Datin.

Dan yang paling glamour sudah tentulah para perwakilan. Di kala pemilihan ini perwakilan dikejar oleh Tan Sri dan Datuk Seri mahupun Datuk.

Mereka ini diibaratkan seperti permata dan emas nilainya sungguh berharga tak terkata. Tetapi selepas pemilihan “trend” automatik terus berubah. Perwakilan Pula yang mengejar Tan Sri serta Datuk Seri. Itulah dunia politik.

Tetapi ingatlah wahai perwakilan pemilihan ini amat penting untuk melihat survival UMNO untuk terus menguasai kerajaan. Gandingan mantap amat perlu janganlah kerana wang yang hanya kenyang untuk seketika akan membuatkan kita kelaparan untuk seumur hidup selepas daripada itu.

Saya amat suka untuk melihat calon-calon ini menang untuk memberikan gandingan yang mantap dan padu kepada Presiden baru.

Presiden : Mohd Najib Tun Abdul Razak
Timbalan Presiden : Muhyddin Yassin
(Calon yang amat sesuai untuk jawatan ini. Telah teruji kepimpinannya sejak menjadi Menteri Besar Johor lagi. Berpengalaman luas dalam kabinet sekurang-lurangnya 4 kementerian telah diterajui beliau dan semuanya “tip-top”).

Naib Presiden 1 : Dr Rais Yatim
(Calon yang senior, berpengalaman, bijak berhujah, penyampaian hujah amat senang difahami dan boleh diterima. Semangat kemelayuan yang tinggi dan kaya dengan bahasa. Lantang bersuara!)

Naib Presiden 2 : Hishamuddin Tun Hussein
(Calon yang dilihat bersesuaian bagi mewakili golongan muda. Juga berpengalaman menerajui 2 buah kementerian sebelum ini. Cumanya yang perlu diperbaiki ialah popularitinya dikalangan guru yang dilihat sedikit terbelakang).

Naib Presiden 3 : 1. Dr Ahmad Zahid Hamidi
(Calon yang dilihat memiliki ketegasan, berupaya menerajui pertfolio agama).

: 2. Shafie Apdal
(Calon dari Sabah ini juga merupakan menteri yang kuat bekerja. Lantang menyuarakan hal ehwal kepentingan Sabah. UMNO memerlukan sekurang-kurangnya seorang wakil dari Sabah ini).

Ketua Pemuda : Mukhriz Tun Dr Mahathir
(Calon yang dilihat mempu memberikan sinar baru terhadap kepimpinan pemuda. Seorang yang lemah lembut namun mempunyai ketegasan. Calon yang mempunyai pengaruh di peringkat akar umbi.).


Dari jauh perwakilan datang,
Dengan niat untuk memilih dan bersidang,
Pemilihan ini untuk dihari mendatang,
Jangan silap memilih orang.

Wassalam

Tuesday, March 17, 2009

Bangku belakang


1. Bukanlah satu budaya baru kalau hendak bercerita berkenaan dengan hal bangku belakang ini.


2. Lebih-lebih lagi budaya ini amat sekali sinonim dengan Pelajar melayu di kampus. Asal datang tidak kira lambat atau cepat namun yang belakang juga yang dipilihnya. Jangan salah faham tak semua yang berkelakuan sebegitu namun ramai juga yang begitu.


3.Kalau hendak dikira akan peratus ilmu yang sampai kepada golongan pelajar ini tidak sampai 10% itu pun kalau semuanya memberi tumpuan. Masakan hendak beri fokus, tempat belakang ini merupakan kawasan “forum bual-bicara”.


4. Oleh sebab itu, amat kurang bilangan yang berjaya datangnya dari golongan “backbanchers” ini.


5. Mereka-mereka ini kebanyakkan nya (bukan semua) yang datang ke kelas semata-mata hendak berjumpa kawan-kawan serta menjalankan aktiviti sosial tanpa mengekalkan niat semata-mata untuk memperolehi ilmu.


6. Apabila disoal atau disebut nama nya oleh Pensyarah baru la terpinga-pinga untuk golongan yang suka meminggirkan diri ini.


7. Lebih dahsyat lagi apabila soalan diajukan oleh Pensyarah lain yang ditanya lain yang dijawab nya. Kelakar pun ada. Hasil pengalaman saya sewaktu mengajar dulu kadang-kadang chapter pun mereka tak tahu.Yang dijawabnya jawapan chapter 1, alih-alih sekarang dah masuk chapter 3.


8. Jadi, untuk golongan “backbenchers” ini tanamkan lah satu azam untuk cuba menduduki kerusi hadapan pula. Ingatlah! Ilmu lebih senang dapat dan lebih terkesan.Kajian menunjukkan mereka yang menduduki kerusi hadapan akan lebih kehadapan untuk berjaya. Pensyarah pun lebih mudah untuk mengenali anda.


9. Begitu juga dalam solat, barangsiapa yang berada di saf hadapan pahalanya lebih banyak dan lebih afdhal daripada saf yang lain.


10.Tidak dapat dinafikan, sewaktu di Universiti dahulu saya merupakan golongan “backbenchers” ini. Akan tetapi, dalam masa tahun-tahun akhir saya mengubah posisi untuk lebih di hadapan.


11. Natijahnya, result saya tidak mencapai 4.0. Sudah pasti selepas ini saya akan menduduki barisan hadapan untuk mudah memperolehi ilmu daripada Pensyarah kelak.


12. Teringat akan satu peristiwa semester 1 dulu semasa menjadi penghuni tetap “backbenchers”, saya ada bertanyakan seorang rakan “hang tolong terang balik apa Puan tu cakap??”..jawapan beliau “Kalau tanya aku sama aja macam tanya dinding”...Hehehe..


13. Oleh itu, ubah lah sikap dan cubalah lakukan perkara yang jarang anda lakukan. Untuk berjaya ia memerlukan perkara yang diluar kebiasaan anda.


Wassalam

Tuesday, March 3, 2009

Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan “Kerajaan Dua Butir”


1. Siapakah yang tidak mengenali Seniman Agung ini. Seorang yang dikagumi hasil pemikiran seninya sehinggakan filem dan lagu nyanyian beliau terus dimainkan dan menjadikannya ia sungguh relevan sepanjang zaman.


2. Allahyarham di kenali sebagai Pelakon, Penyayi,Pengarah,Pemain Muzik,Penulis lirik,Penggubah lagu. Jadi disebabkan itu nama beliau bermula dengan huruf P.


3. Petang semalam semasa sesi perbahasan Parlimen YB Ibrahim Ali telah mencadangkan supaya Allahyarham dianugerahkan dengan gelaran tertinggi negara iaitu Tun. Dan sudah pasti saya menyokong cadangan itu untuk diberikan kepada Seniman Agung yang berasal dari Pulau Mutiara ini.


4. Bagai satu kebetulan, apabila YB Ibrahim Ali yang mencadangkan gelaran Tun untuk Allahyarham bersamaan dengan hari sidang tergempar Kerajaan Pakatan Rakyat Perak.


5. Sekiranya beliau masih hidup sudah pasti Allahyarham akan tersenyum kambing melihat hasil karyanya diterjemahkan oleh Kerajaan PR yang terpaksa mengadakan sidang dibawah "pokok ketapang" sekiranya betul nama pokok itu.


6. Makanya, dengan itu dapat saya katakan bahawa Allahyarham bukan sahaja hebat dalam bidang seni akan tetapi hebat dari segi pemikiran politik.


7. Untuk memberikan pengetahuan yang lebih kepada generasi muda, saya juga ingin mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah Muzium Khas P.Ramlee atau sebuah Institut Pemikiran beliau supaya generasi akan datang dapat memanfaatkan hasil pemikiran dan idea kreatif Allahyarham.


8. Dari satu sudut, Generasi muda bukan saja dapat mengenali beliau melalui filem dan lagunya sebagai artis sebaliknya mengenali beliau sebagai Seniman Agung yang serba boleh.


9. Saya juga suka menyatakan bahawa, kalau lah pihak Kerajaan ingin memberikan apa-apa penghargaan untuk mengiktiraf jasa insan-insan ternama eloklah dipercepatkan yakni semasa hayat insan itu masih dikandung badan.


10. Kesimpulannya, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee adalah insan yang mendahului zamannya.


Wassalam

Tuesday, February 10, 2009

Demam Pilihanraya

1.Malaysia kembali dilanda pilihanraya.

2.Pilihanraya kecil yang akan melibatkan Parlimen Bukit Gantang dan juga Dun Bukit Selambau. Kedua-dua dun ini bernaung dibawah Kerajaan Pakatan Rakyat.

3.Apa yang menarik ialah kedua-dua kerusi ini adalah milik Pakatan Rakyat dewasa ini. Oleh itu, pasti menjadi hasrat Kerajaan BN untuk merampas sebagai perampas dan mengebasnya.

4. Setelah gagal mengemudi dua pilihanraya, pasti menjadi cita-cita menggapai untuk beroleh status juara demi menunjukkan kepada rakyat yang BN sekarang bangkit dan ingin menjadi parti hebat.

5.Cuma,apa yang perlu BN perlu untuk tidak mengulangi kesilapan-kesilapan terdahulu.

6.Antara perkara-perkara penting untuk hadapi pilihanraya ini ialah soal pemilihan calon. Ini hendaklah dipilih atas kehendak rakyat jelata. Sejauh mana sifat-sifat calon ini mampu mempengaruhi pengundi kawasan.Kalau dahulu Wan Ahmad Farid dikatakan sombong tidak seperti Abdul Wahid yang dilihat sentiasa mendampingi rakyat di setiap masa.

7. Tidak usahlah terlalu meletakkan kempen kepada media. Sehinggakan rakyat menjadi muak dan amat meluat. Perlu diingat, rakyat sekarang bukan seperti dahulu dan soal penilaian sudah boleh dibuat tatkala melihat calon. Tidak perlu mempromosikan terlampau banyak hal-hal BN ini.Rakyat Jemu!

8. Janganlah juga menjadi hiprokrit. Ini perlu disebut kerana apabila berlakunya pilihanraya barulah seluruh jentera datang menyampaikan bantuan. Sampaikan makcik yang rumahnya terletak disemak samun berjaya di lawatinya, namun lepas menang pilihanraya muka calon itu entah pergi ke mana.

9.Kalau di Kuala Terengganu dulu, Wan Ahmad Farid mengatakan suka bertemu pengundi melalui kelompok-kelompok kecil dan lawatan dari rumah ke rumah lebih berkesan, tetapi kalah juga. Strategi sekarang memerlukan perubahan. Kemungkinan pengundi berumur menerima stail ini kemungkinan besar tidak untuk pengundi muda. Mereka ini lebih sukakan perhimpunan atau rapat umum dalam menjalankan kempen.Ianya Trend.Zaman sekarang bukan lagi zaman Allahyarham Tun Ghaffar.

10.Jangan ditonjolkan sangat kehebatan BN itu dengan gahnya melalui TV dan corong radio. Biarlah rakyat sendiri yang ingat jasa dan pengorbanan BN tanpa mengingatkan rakyat.

11.Untuk Media ini, berilah sedikit kebebasan untuk memberikan liputan kepada parti bertanding, tanpa mengulangi komen-komen daripada pemimpin tertentu. Rakyat kini suka kepada soal keadilan serta sama rata dalam konteks liputan berita dan komentar.

12.Kepada calon yang bakal bertanding, ingatlah amanah yang anda pikul amat besar sekali. Niat amatlah penting dalam menyatakan sesuatu pekerjaan. Allah akan menyoal kamu nanti apakah kamu menjalankannya dengan penuh beramanah. Hindarilah budaya rasuah dan utamakan keikhlasan dalam perjuangan.

Wassalam.

Sunday, February 8, 2009

Gempa Bumi Politik Malaysia


1.Kebelakangan ini, gempa bumi politik telah melanda Malaysia. Bermulanya beberapa siri pilihanraya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu yang tidak memihak kepada BN menjadi isu besar kepada penyokong-penyokong Kerajaan, apakah parti komponen terbesar ini tidak lagi mampu memayungi rakyat.

2.Semenjak ogos tahun lepas sehingga kini Malaysia tidak sudah-sudah dilanda gempa bumi politik, sehinggalah terjadinya tsunami meranapkan sebuah kerajaan pakatan rakyat pimpinan Muhammad Nizar Jamaluddin. Beliau tersungkur jatuh, cuba untuk berenang namun ombak tsunami hasil gempa bumi membuatkan beliau dan rakan kerabatnya seakan tenggelam hinggalah timbul seseorang bernama Zambry Abdul Kadir untuk mengemudi keadaan.

3.Sudah tentu kesannya amat hebat, apabila Muhammad Nizar cuba ke darat dan seakan-akan mampu berdiri dan mendakwa beliau kini stabil dan selamat. Malangya, beliau tidak lagi diperlukan selepas itu. Itulah ibaratnya politik Malaysia tsunami selepas gempa bumi.

4.Bagi saya, Malaysia ini merupakan sebuah Negara yang amat hebat berpolitik. Tetapi yang amat malang disini kaum melayu beragama islam bercakaran inginkan tampuk kuasa. UMNO dengan ideologinya begitu juga PAS dengan ideologinya juga. Namun, perkelahian tidak sudah membawa mudarat sehingga membawa institusi kesultanan terlibat.

5.Dikala kegawatan ekonomi melanda dunia, berpuluh ribu pekerja entah kemana nasib mereka, orang politik di Malaysia ini begitu sibuk menyusun strategi inginkan kuasa. Sudah tentu apabila DYMM Sultan Perak membuat keputusan, tidak menginginkan pilihanraya negeri diadakan Tuanku sudah pasti mengerti akan implikasinya terhadap keputusan itu. Tambahan lagi, Baginda bukan calang-calang orangnya.

6.Apakah yang rakyat dapat selepas pilihanraya?hanyalah sebuah kerajaan yang akan terus menyatakan slogan mereka akan membela rakyat, tidak akan pinggirkan rakyat, kita bagi jaminan rakyat akan selamat. UMNO mahupun PAS itulah kata-kata yang akan diluahkan kelak.

7.Dikala Negara di dunia sibuk merancakkan agenda ekonomi untuk menyelamatkan ekonomi masing-masing kita dilihat gemar berpolitiking dan berdemonstarsi. Seharusnya hala tuju negara ke arah pembangunan ekonomi negara, dengan membantu usaha pengemblengan yang jitu, bukan sesuka hati menjadikan jalan raya seperti tilam tempat untuk berbaring!

8.Kekusutan ini harus tiba dipenghujungnya. Tidak salah kita berpolitik dan satu hakikatnya ialah politik tidak boleh dipisahkan dengan agama.Namun berhati-hatilah kita semua. Bercakaran, bertokak sana-sini tidak menyelesaikan masalah. Sebaliknya terimalah keputusan nyata yang telah dibuat oleh DYMM Sultan Perak.

9.Untuk Muhammad Nizar, usah dilupa sewaktu kemenangan dahulu sehingga dilantik menjawat jawatan MB adalah atas perkenan DYMM Sultan Perak. Walaupun ketika itu UMNO juga ingin tubuhkan kerajaan minoriti namun Baginda menolak. Peluang diberi kepada kerajaan campuran untuk berkuasa. Selepas berkuasa, banyak keputusan yang dibuat membuatkan pihak istana terguris antaranya isu tanah kepada kampong cina, iaitu tempoh pajakan sehingga 999 tahun. Tidak pernah berlaku sebelumnya.

10.Hormatilah DYMM Sultan. Satu ketika bangsa lain mempertikaikan Sultan, wah! Begitu hebat kita pertahankan Sultan kita. Sekarang ini?bangsa sendiri menyanggah Sultan. Kalau di Malaysia ini, DYMM Sultan tidak kita hormati dan memberikan taat setia sebagai Pemerintah?dengan siapa lagi kita hendak menurut kata.Tepuk dada tanyalah selera!
Wassalam

Wednesday, January 21, 2009

PILIHANRAYA YANG TIDAK BERJAYA

1.Kekalahan BN di Kuala Terengganu sememangnya telah dijangka.

2.Ini berikutan soal pemilihan calon yang dikatakan tidak mendapat tempat di hati rakyat Kuala Terengganu walaupun Calon ini merupakan anggota pentadbiran kerajaan.

3.Perlu diingat bahawa ini merupakan kekalahan UMNO kali ke-2 selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh yang menyaksikan Anwar Ibrahim menguasai dengan majoriti yang tinggi.

4.Sekali lagi UMNO dilihat tidak lagi mampu meresap ke pemikiran masyarakat walaupun media arus perdana memberikan liputan pagi,petang,siang dan malam. Zaman sudah semakin berubah rakyat pula sudah semakin muak tatkala melihat juak-juak pimpinan UMNO mengkudakan media sebagai perantara dalam menyampaikan kempen.

5.Adalah sesuatu yang malu,kalau dibandingkan dengan cara PAS berkempen.Bergantung pada media perdana tidak sekali namun cara pembawakan calon yang begitu pandai mengambil hati membuatkan penduduk disana terpikat.Boleh dibilang dengan jari hanya berapa kali calon PAS ini mendapat liputan berbanding Wan Ahmad Farid seperti selebriti setiap hari.

6.UMNO amat sekali perlukan perubahan!!!Soalnya adakah pemimpin besar BN ingin berubah?.Tidak guna berbicara soal perubahan dikala pemimpinnya tetap dengan zon selesa dengan mengkhabarkan UMNO parti pembela rakyat akan tetapi dimana slogan ini sewaktu UMNO gah dan kuat hendaknya.

7.Tarikan, kekuatan, perjuangan, penyatuan, perkhidmatan sudah tidak nampak sebenarnya didalam UMNO ini. Sekiranya parti ini hendak melakukan transformasi lupakan lah soal kroni.Lupakan lah join UMNO untuk tender,lupakanlah UMNO parti buat duit, lupakanlah masuk UMNO untuk pangkat,lupakan itu semua.Sebaliknya soal pengubahan minda bangsa melayu untuk terus menyokong UMNO harus dilaksana segera.

8.UMNO dilihat parti tunjang BN.Kalau Mr Berek, boleh menjadi Presiden yang berasal dari kaum hamba abdi maka adalah tidak mustahil Mr Karpal, Mr Lim KS untuk bermimpi menduduki kerusi PM seterusnya menjadi realiti.Adakah kita mampu menyekatnya??

9.Sama-sama kita bertanyakan hal ini kepada pemimpin-pemimpin UMNO.Ingatlah amanah bangsa yang diberikan kepada anda.Kembalilah ke asal perjuangan.Kenangkan kembali Tanah Melayu sewaktu era penjajahan.Tengoklah cara pimpinan terdahulu bekerja.

10.Kalau dahulu kita memberi wang untuk berjuang demi anak bangsa sekarang ini kita mengambil wang untuk berjuang untuk perut sendiri.Sama-sama kita fikirkan.

Wassalam

Wednesday, January 7, 2009

BERTUKAR STATUS


1. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinnya saya telah selamat di ijabkabulkan pada tanggal 13/12/08.

2. Tetapi bukanlah sesuatu yang mudah kerana dalam tempoh hendak melangsungkan perkahwinan ini saya bersama isteri iaitu Siti Zakiah melalui pelbagai peristiwa yang getir.Walaupun perancangan berkahwin berlaku dalam tempoh singkat dan hanya 3 bulan tempoh pertunangan kami berjaya disatukan.

3. Dugaan demi dugaan,ujian melanda bak hujan dipihak saya namun ujian ini mungkin adalah satu “benchmark”sebelum kami melayari bahtera rumah tangga dengan jayanya.Siti Zakiah bersama keluarga begitu teguh dan sabar menghadapi ujian walaupun bapa dimasukkan ke wad seminggu sebelum dan selepas majlis berlangsung.Bukan itu sahaja beliau terpaksa bertindak sebagai “Pengarah Program”untuk majlisnya sendiri.

4. Setiap hari sekurang-kurangnya sejam beliau akan menelefon saya dimalamnya untuk mengadu pelbagai perkara, namun saya amat sabar untuk menasihati beliau untuk terus kuat menempuhi segalanya.Mungkin kesukaran ini akan mendatangkan kesenangannya kelak.Hanya Allah SWT mengetahui.

5. Kini, saya bergelar suami beliau bergelar isteri.Sudah pasti kami kekok dengan perubahan yang belum pernah dialami.Syukur saya daripada duduk seorang diri di dalam bilik,tidak ada tv, tidak ada fokus dalam hidup melainkan bekerja untuk syarikat namun itu semua tidak lagi.

6. Memiliki tanggungjawab besar, untuk menjaga dan mendidik isteri .Saya mempunyai teman untuk berbicara dengan sahnya.Berkongsi pelbagai perkara,makan bersama,mempunyai perancangan memiliki aset dalam kehidupan dan yang paling best Siti Zakiah ini pandai mengurut. Sehinggakan ibu dan nenek saya pun diurutnya seperti mesin ogawa!Masakan pulak ala-ala chef wan gitu.

7. Untuk tempoh ini, kami berjauhan saya di KL beliau di Melaka.Kami jangkakan paling tinggi 3 bulan untuk berasingan.Amat susah untuk kami berkomunikasi .Menyusun pelbagai perancangan bersama-sama. Syukur harga minyak masih rendah kalau tinggi sudah pasti membebankan. Ditambah pula menanggung liabiliti yang tinggi.Mudah-mudahan Allah mempermudahkan kami untuk tinggal bersama-sama selepas ini.Amin

Wassalam