Wednesday, February 3, 2010

Kisah bersama Tun Dr Mahathir Mohamad




1.Dua hari lepas, semasa dalam perjalanan saya terserempak dengan sebuah kereta berplat WLJ 92 BMW 7 Series lengkap dengan rombongan keselamatan.

2.Selang beberapa saat, teringat saya rupa-rupanya ia adalah kepunyaan Tun Dr Mahathir.

3.Pagi itu juga, saya mengimbau kembali perjumpaan saya bersama beliau suatu masa dahulu.

4.Perjumpaan yang pada asalnya, saya dicabar oleh Dr Ong Puay Tee, Pensyarah Fakulti di Universiti untuk menguruskan perjumpaan ini.

5.Pada asalnya, saya tidak yakin bagaimana saya hanya seorang pelajar perlu kreatif untuk mencari jalan menulis surat, menggunakan saluran tertentu, merisikkan maklumat untuk bertemu seorang negarawan ulung Malaysia. Terima kasih jua kepada rakan terdekat iaitu Marzukhi bin Md Saleh dan Nik Mohd Faisal bin Nik Aziz atas bantuan dan sokongan.

6.Ketika itu banyak ranjau ditempuhi, oleh kerana ketika itu Tun begitu banyak sekali memberikan komen dan kritikkan semasa era Tun Abdullah Badawi memegang tampuk pemerintahan Malaysia.

7.Saya kuatkan hati, sekiranya niat kita baik dan ikhlas sudah pasti Allah bantu.

8.Ternyata, selepas 2 minggu berusaha saya mendapat khabar berita daripada Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya Tun bersetuju untuk menemui kami seramai 32 orang.

9.Hati gembira tidak terkata, Dr Ong melompat riang gembira.

10.Saya ditugaskan untuk mengetuai delegasi pelajar dalam perjumpaan ini. Pelbagai kajian soalan yang telah saya lakukan. Al-maklum, maklumat daripada seorang rakan Tun akan menjadi lebih gembira apabila soalan yang ditanyakan bersandarkan kepada fakta dan tidak memuji beliau. Lebih-lebih lagi tajuk yang dipilih adalah yang beliau suka. Berbunyi “Change Management in Nation Building”.

11.Tatkala, tiba di perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana jantung berdebar menanti beliau untuk masuk menemui kami.

12.Semasa beliau memasuki bilik mesyuarat tiada seorang yang mampu berkata-kata hanya memerhati wajah bersih beliau secara dekat dan beliau begitu bersahaja sambil sentiasa tersenyum. Nampak beliau begitu berkarisma dan segak walau berusia 82 tahun ketika itu. Hatta, sehingga sekarang.

13.Itulah Tun! Beliau memiliki aura tersendiri. Lidah terkelu ketika ingin memulakan sesi dengan beliau. Saya memulakannya dengan baik.

14.Beliau berkata kepada saya “you boleh jadi leader yang baik jika kita benar-benar ikhlas dalam kepimpinan dan perjuangan dan lakukan sesuatu dengan penuh minat dan kita tidak akan jemu dan penat”.

15.Tun banyak memberikan nasihat dan motivasi. Beliau banyak menyentuh soal ekonomi dan bagaimana idea yang beliau ada untuk diterjemahkan menjadi realiti. Soal disiplin begitu banyak yang beliau perkatakan.

16.Saya mencuba untuk bertanyakan soalan politik, sebaliknya beliau tidak menjawab dan hanya tersenyum sinis melihat saya. Namun, disebalik senyuman itu tersimpan makna yang mendalam terhadap kepimpinan Malaysia ketika itu.

17.Beliau seorang yang digeruni oleh kawan dan lawan. Pemikiran beliau hebat dan futuristik tidak mampu dipintas oleh orang lain.

18.Sesungguhnya, saya merindui kepimpinan beliau dalam membangunkan negara. Tiada huru-hara, tiada rusuhan, tiada perasaan gundah, tiada kerisauan, tida konflik, tiada ketegangan. Beliau bijak dalam mentadbir Malaysia walau berlainan agama dan bangsa.

19.Sekarang di Malaysia, anda nilailah sendiri.

Wassalam

Thursday, January 21, 2010

Maklum Balas PTPTN


Saya mengucapkan jutaan terima kasih dengan tindakan serta-merta daripada :-

1. Senator Dato' T Murugiah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta kakitangan Pejabat Timbalan Menteri
2. Dato' Dr Tam Weng Wah, Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam
3. En Yunos bin Abd Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN
3. En Aziz bin Ismail, Pengarah Bahagian Pengurusan Aduan & Program Bersama Pelanggan
4. En Mohd Asri b Mohamed, Ketua Penolong Pengarah (Aduan) 4
5. En Azleen, Pegawai Khas Menteri Pengajian Tinggi

Berikut saya paparkan jawapan daripada Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN:-

YB. Dato’/Tuan/Puan,

Salam Sejahtera,
Terlebih dahulu PTPTN mengucapkan terima kasih di atas pandangan yang diberikan berkaitan PTPTN.

Berdasarkan kepada penjelasan/pandangan yang diberikan oleh pengadu, disertakan jawapan bagi isu-isu yang dibangkitkan untuk makluman bersama. Penangguhan bayaran balik bagi program Diploma, Ijazah kerana menyambung pengajian separuh masa Sarjana

Keputusan peminjam untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana adalah usaha yang baik. Walau bagaimana pun PTPTN tidak membenarkan penangguhan bayaran balik kepada peminjam yang sudah mempunyai pendapatan dan berkemampuan untuk berbuat demikian. Tahap kemampuan yang dimaksudkan disini tidak mengambil kira tanggungan-tanggungan seperti petrol, tol, penyelengaraan kenderaan dan bebanan hidup dikota kerana bayaran balik pinjaman PTPTN sepatutnya sudah diambil kira oleh pengadu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai urusan-urusan kehidupan yang lain. Pengurangan bayaran balik daripada RM450 kepada RM100 (Pengurangan melebihi 75%) tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya kerana ianya melibatkan aliran tunai PTPTN dan implikasinya adalah begitu ketara sekiranya melibatkan peminjam yang ramai. Masalah ini telah pun beberapa kali dipaparkan didada akhbar.

PTPTN sentiasa meletakkan polisi yang selari dengan kehendak dan inspirasi kerajaan kerana penubuhan PTPTN ini adalah untuk rakyat. Rakyat yang dimaksudkan disini ialah rakyat semasa dan juga rakyat YANG AKAN DATANG. Dari itu kegagalan peminjam semasa mematuhi tanggung jawabnya pada ketika ini akan memberikan kesan pada generasi akan datang. Dari itu, sudah sampai masa peminjam pula menjalankan tanggungjawab socialnya mengembalikan setiap ringgit yang dipinjam kerana rakyat yang lain juga memerlukannya.

Didalam keghairahan kita memperbaiki taraf hidup, kita perlu memastikan bahawa tindakan kita itu tidak menyekat orang lain menikmati kemudahan yang sama dimasa akan datang yang masih belum mempunyai ijazah mahu pun diploma.

Terima kasih.

Ketua Eksekutif
PTPTN
21 Januari 2010


Komen daripada saya:

1.Jawapan daripada pihak CEO PTPTN berkenaan tahap kemampuan yang tidak mengambil kira perbelanjaan harian ini disifatkan tidak mengambil kira kepentingan rakyat. Apakah rakyat perlu berbasikal atau berlari atau berjalan kaki ke tempat kerja demi untuk memastikan pembayaran pinjaman PTPTN mengikut jadual asalnya. Saya sudah pasti beralih menggunakan kemudahan awam seperti bas dan LRT sekiranya ianya efisiyen namun tidak memudahkan saya. Yang ada pun 7 KM jauhnya. Tidak termasuk perbelanjaan parking setiap hari di stesen LRT. Ianya lebih membebankan.

2.Apakah pelajar sewaktu menandatangani perjanjian PTPTN termasuk melihat jumlah pembayaran selepas tamat mampu untuk mencongak masa depannya 5 atau 10 tahun akan datang. Persoalan:-

3.Apakah mereka boleh melihat masa depan?Apakah mereka boleh meramalkan keadaan ekonomi semasa Malaysia dan dunia?Apakah mereka cukup matang dalam membuat penilaian serta pemahaman 100% ketika perjanjian ditandatangani?. Sepanjang ingatan saya, tidak ada pegawai PTPTN yang menerangkan akan implikasi ini sewaktu sesi penerangan. Sebaliknya, hanya datang menerangkan cara mengisi borang serta tarikh kemasukkan duit. Dan tidak ada menerangkan dengan teliti berkenaan caj perkhidmatan 3%

4.Sebab itu, sewaktu membuat keputusan untuk menyambung pengajian sarjana, saya tidak langsung memikirkan untuk mengambil wang pinjaman PTPTN. Kita sudah boleh membuat timbang tara yang matang akan kesan dan implikasinya.

5.Oleh kerana, kita sebagai orang islam yang bertanggungjawab saya tidak lari daripada tanggugjawab untuk membuat pembayaran. Saya boleh untuk tidak bayar serta tidak memaklumkan penukaran alamat sebaliknya sebagai sentiasa ingat. Hatta, ketika tidur sambil tangan di dahi mencari jalan dan kaedah untuk melangsaikan hutang ini.

6.Saya tidak begitu ghairah memperbaiki taraf hidup. Sebaliknya, menyahut saranan pihak kerajaan dalam meningkatkan nilai tambah diri serta peningkatan modal insan. Terbukti saya tidak menyekat peluang orang lain dengan membuat pembayaran setiap bulan tanpa gagal.


7. Saya berpendapat kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Mohd Najib sedang meresapi ke arah jiwa dan hati rakyat. Harapan kepada beliau amat tinggi. Harap nasib peminjam PTPTN mendapat pembelaan sebaiknya.


Wassalam

Monday, January 18, 2010

Isu PTPTN dan Mahasiswa


Saya adalah antara ribuan peminjam PTPTN dan terpanggil untuk menyatakan pendapat berkenaan isu PTPTN dan Mahasiswa ini. Sekalung penghargaan untuk pihak kerajaan kerana menyediakan “bank” untuk rakyatnya demi mendapatkan segulung diploma mahu pun ijazah. Ini sesuatu yang perlu diakui.

Untuk makluman, pada 15 Oktober 2009 saya menerima surat daripada PTPTN dan menyatakan saya telah menangguhkan pembayaran PTPTN. Saya kecewa menerima surat ini disebabkan hampir setiap bulan saya membayar tanpa gagal walaupun dengan jumlah yang sedikit iaitu RM 100.

Saya telah menulis surat kepada pihak PTPTN bertarikh 26 Oktober 2009 untuk memohon pertimbangan pengurangan bayaran akan tetapi pihak PTPTN tidak dapat mempertimbangkannya. Hal ini berikutan alasan yang saya kemukakan tidak menepati prosedur yang ditetapkan. Untuk maklumat, saya sekarang sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Di dalam surat jawapan, permohonan tidak diluluskan oleh kerana saya adalah pelajar separuh masa atau program luar kampus. Adakah ini realistik? Mana mungkin, saya perlu berhenti kerja semata-mata untuk menyambung pengajian untuk menepati syarat PTPTN. Saya sendiri menggunakan pengeluaran akaun 2 KWSP untuk membiayai yuran namun tidak juga mencukupi sebaliknya perlu ditambah sendiri.

Sepatutnya, menyambung pengajian tidak perlu diletakkan sebagai syarat memandangkan tidak ramai yang ingin menyambung pengajian semasa bekerja. Tambahan pula untuk golongan yang telah berumah tangga. Saya tidak memohon untuk menangguhkan pembayaran sebaliknya hanya pengurangan.

Untuk golongan ini, sudah pasti niat mereka suci murni iaitu bagi memperbaiki taraf hidup keluarga, serta menyumbang ke arah pembangunan negara. Serta yang paling utama, mudah-mudahan dengan beroleh sarjana, mampu untuk menambahkan lagi jumlah bayaran ansuran kepada PTPTN.

Tidak ada perbezaan untuk sepenuh atau separuh masa. Kesemuanya melalui proses dan penilaian yang sama. Jadi adakah syarat ini relevan dan menepati kehendak masyarakat. Pihak PTPTN sendiri sebelum meletakkan sesuatu polisi ianya mestilah selari dengan kehendak dan aspirasi rakyat, oleh kerana penubuhan PTPTN ini juga adalah untuk rakyat.

Saya akui, pembayaran setiap bulan adalah yang minimum. Lebih-lebih lagi hidup di Kota Metropolitan ianya adalah sesuatu yang membebankan. Tambahan terpaksa berulang alik ke Melaka hampir setiap minggu menjenguk keluarga oleh kerana isteri bertugas di bumi Hang Tuah. Sudah pasti duit banyak digunakan untuk petrol dan tol, itu belum penyelengaraan kereta. PTPTN sendiri pada satu ketika, mengumumkan untuk menerima pembayaran seminimum mungkin walaupun RM 50 namun tidak seperti yang dijangkakan.

Mengikut matematik, jumlah keseluruhan pinjaman saya adalah sebanyak RM 63000 yakni diploma sebanyak RM 15000 dan ijazah pertama RM 48000. Dan mengikut jadual PTPTN termasuk caj perkhidmatan saya perlu membayar RM 450 sebulan. Oleh kerana pembayaran yang tidak mengikut jadual termasuk caj perkhidmatan keseluruhan jumlah telah menjangkau jumlah RM 5000. Dengan gaji yang tidak seberapa saya tidak mampu untuk membayar jumlah terkumpul serta ansuran yang bakal mencecah RM 500 sebulan. Setiap bulan, caj perkhidmatan akan terus meningkat disebabkan PTPTN mengamalkan sistem dua akaun. Sebagai contoh, saya membayar ansuran untuk peringkat diploma tetapi untuk ijazah caj perkhidmatannya akan terus naik tanpa belas ihsan.

Setelah, menerima surat balasan saya menghubungi pegawai PTPTN untuk cuba berdiskusi. Alangkah “moleknya” apabila mendengar jawapan “Encik ..CEO kami telah membuat keputusan, jadi encik mesti bayar seberapa segera yang boleh jika tidak bakal berdepan tindakan undang-undang”.

Dengan kenyataan dan syarat-syarat tertentu akan menyulitkan rakyat. Mungkin, ada yang bertindak beralih untuk memohon pinjaman ah long atas syarat yang fleksibel dan mudah dalam meluluskan pinjaman. Jika, ini berlaku adalah sia-sia akan tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam memerangi ah long habis-habisan.Akhirnya rakyat menjadi mangsa.

Semasa di Universiti dahulu, pernah seorang Pensyarah menyatakan, Negara akan bergerak mundur ke belakang apabila kerajaan memperkenalkan PTPTN. Beliau berhujah, ini kerana pelajar sudah mula berhutang sebelum bekerja. Serta gaji yang belum mampu untuk membayar ansuran mengikut jadual. Tambahan, belum ada pekerjaan terjamin selepas bergelar graduan dan PTPTN sendiri beroperasi seperti “Bank” dengan mengenakan caj perkhidmatan. Ternyata ianya benar.

Saya tidak menolak, kerajaan dan PTPTN telah membantu saya. Pasti saya tidak mampu menulis surat atau email ini tanpa pendidikan dan pengetahuan yang saya perolehi hasil daripada wang PTPTN. Soal kemanusiaan yang saya bicarakan rata-rata masyarakat kini yang dihimpit kekangan hidup serta berhadapan bebanan yang semakin tinggi.

Seperkara lagi, isu PTPTN ini membuatkan mahasiswa beralih arah menyokong pembangkang. Saya menyatakan demikian kerana mahasiswa berasa kecewa dengan polisi PTPTN. Sepatutnya, kerajaan sendiri prihatin dalam membantu rakyatnya.

Saya gembira apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan penukaran status pinjaman kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah pertama kelas pertama. Ingin dicadangkan supaya polisi ini diperluaskan kepada semua yang memiliki kelas pertama. Selain itu, sesiapa yang memperolehi kelas kedua tinggi atau rendah juga perlu dipertimbangkan untuk diberikan potongan sebanyak 50%. Bagi kelas ketiga, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk tidak mengenakan apa-apa faedah sebaliknya hanya jumlah keseluruhan pinjaman. Ini kehendak rakyat.

Pasaran kerja semasa juga tidak banyak membantu graduan mendapat pekerjaan dengan cepat setelah tamat. Jika dilihat, sektor swasta umpamanya meletakkan pelbagai syarat sebelum pengambilan serta pekerjaan dengan sektor ini memerlukan pengalaman. Jadi, adakah mereka ini berpeluang untuk bekerja?Jika tidak bagaimana dengan pinjaman mereka. Jika ya, apakah dengan gaji yang diterima mampu untuk membayar ansuran lebih-lagi hidup di Bandar besar seperti Kuala Lumpur. Peluang kerja di sektor kerajaan juga terhad serta pengisian jawatan baru hanya bertaraf kontrak. Universiti dan kolej menghasilkan puluhan ribu produk yang bergelar graduan ini namun agak sedih sekali kerana kurangnya penempatan pekerjaan untuk mereka ini.

Keprihatinan kepimpinan YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak sangat diperlukan bagi membantu menyelesaikan perkara ini. Janganlah disebabkan perkara seperti ini akan membuatkan rakyat beralih arah tidak menyokong kerajaan. Saya masih lagi beranggapan dan percaya kepimpinan YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dalam mengubah nasib rakyat. Dengan slogan “Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan” saya mengharapkan ianya selari dengan kehidupan masyarakat bukan hanya slogan sahaja yang terkenal dibibir namun saya mengharapkan tindakan yang efektif bagi membantu rakyat.

Wassalam

Sunday, January 10, 2010

Sebulan sudah


1. Syukur Alhamdulillah semalam genap sebulan puteri kami.

2. Sebentar tadi, isteri dalam perjalanan ke klinik untuk membuat pemeriksaan rutin.

3. Hujung minggu ini saya akan pulang ke Johor untuk mengambil isteri dan Dhiya untuk tinggal di Kuala Lumpur.

4. Mengikut kata isteri, Dhiya semakin membesar dan daya 'kynestetic' nya cepat.

5. Harapan agar Dhiya membesar dalam keadaan yang baik dan normal.

6. Kepada rakan-rakan yang baru menimang cahaya mata tahniah diucapkan. Yang belum, sila segerakan! hehe..

7. Hari rabu ini jam 8.00 pm - 12.00 am, saya akan melalui peperiksaan akhir semester. Mohon Allah mudahkan segalanya.

Wassalam

Saturday, December 12, 2009

Kelahiran Puteri Kami-Dhiya Hiswaniza binti Hiswadi



1.Alhamdulillah segala puji bagi Allah dan dipanjatkan syukur atas anugerahNya yang tidak terhingga mengurniakan kami amanah untuk dijaga.

2.Tepat jam 3.46 pm 23 Zulhijjah 1430 bersamaan 10 Disember 2009 Dhiya Hiswaniza bt Hiswadi selamat dilahirkan.

3. Bermula apabila isteri memandu sendiri kereta untuk menjalani pemeriksaan rutin lebih kurang jam 9.30 am.

4. Selepas menjalani pemeriksaan, Dr terus mengarahkan untuk bersalin dengan kadar segera walau tarikh sebenar adalah pada 13/12/2009 (hari ulang tahun perkahwinan pertama). Menurut Dr, air ketuban isteri berkurangan dan ini amat membahayakan kandungan.

5. Isteri menghubungi saya, setelah membahagikan kerja pejabat saya terus bergerak menuju ke Melaka mengambil masa 45 minit dari Tol Sg besi.

6. Setelah tiba, saya menemani isteri yang sedang menjalani kaedah "induce". Setelah 2 jam, keadaan jantung baby yang tidak stabil serta najis telah keluar maka Dr terpaksa mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan. Saya dapat melihat keadaan yang agak kelam-kabut didalam bilik bersalin apabila Dr mengarahkan supaya semua nurse bersedia dengan kadar segera.

7. Disaat itu, hanya Allah menjadi tempat saya berdoa dengan keadaan isteri yang menahan sakit teramat. Dapat dilihat dengan jelas keadaan bimbang isteri sebolehnya tidak mahu menjalani pembedahan. Sebagai suami, saya memberikan sokongan moral ditahap tertinggi.

8. Semasa berada di pintu bilik pembedahan ramai orang bertanya kenapa hanya saya bersendirian menunggu isteri. Saya menjelaskan bahawa ibu mentua sedang dalam perjalanan dari Johor, Ibu saya berada di Pulau Pinang. Tambahan lagi, saya menjelaskan yang saya bertugas dan tinggal di Kuala Lumpur serta isteri bekerja di Melaka.

9. Seorang makcik yang menemani cucunya, menitiskan air mata mendengar penjelasan saya semasa didalam keadaan yang getir ini. Isteri pula memandu kereta sendiri untuk ke hospital.

10. Saya amat berterima kasih kepada makcik yang tidak dikenali ini yang memberikan semangat untuk saya menghadapi keadaan cemas dan memohon saya untuk bertawakal sepenuhnya kepada Allah. Bagi mengurangkan bimbang, saya berbual dengan orang sekeliling antaranya Dr Burhan dari Utem dan Mr Sin juga merupakan suami kepada pesakit di sini.

11. Alhamdulillah, tepat jam 4.15 pm nurse menolak keluar baby saya. Dan saya terus meminta daripada nurse untuk terus azan dan iqamat kan baby saya. Dikala itu, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata terasa akan sayu dihati memegang zuriat sendiri untuk melafazkan kalimah Allah.

12. Seterusnya, kedua ibu mentua saya sampai. Mereka banyak membantu memberikan tunjuk ajar. Syukur saya, apabila sebelum ini juga Dr Mazuki telah mengajar serta memberi nasihat kaedan menjaga baby. Ini memberikan saya kelebihan untuk mengawal situasi dan mengajar isteri sedikit sebanyak.

13. Malamnya, abah, emak dan kakak saya menghubungi untuk mengetahui keadaan isteri dan baby. Abah meminta saya menamakan dengan nama arwah adik saya "Hiswaniza" sebagai mengenangkan akan kekuatan serta ketabahan arwah sewaktu hayatnya dahulu.

14. Syukur semuanya selamat, perjuangan seterusnya saya perlu menelaah buku untuk pulang ke KL esok 6.30 am untuk mengambil ujian dan menghadiri kelas. Esok juga selepas kelas, saya pulang semula ke Melaka mengambil isteri dan Dhiya untuk dihantar ke Johor. Doakan semuanya selamat.

Wassalam.

Wednesday, December 9, 2009

Ujian, Tarikh Isteri Bersalin dan Ulang Tahun Perkahwinan Pada 13/12/2009


Semalam saya ada menghubungi pensyarah untuk subjek "organizational behavior" dengan niat untuk memohon pelepasan kecemasan untuk kelas pada hari ahad ini.Setiap kelas menjadi begitu penting oleh kerana beliau akanmembuat ujian penilaian pada setiap kelas.Ikuti perbualan saya bersama beliau.

Saya :Assalamualikum En Farid..

En Farid:Waalaikumussalam..siapa disana?

Saya :Hiswadi..En Farid..

En Farid: Ya..Hiswadi you dari Technology Park Malaysia kan..anything?

Saya :Ya..just to inform pada En Farid, yang wife saya akan bersalin pada 13/12 ni?

En Farid:hari apa tu ye?

Saya :Hari ahad En Farid hari kelas OB..saya dalam dilemma untuk hadir ke kelas memandangkan isteri akan bersalin di Melaka, saya pula di KL..

En Farid:tapi you akan miss the test tau..ok la i give you suggestion..you put somebody on standby untuk hantar wife you ke hospital in case of emergency..lagi pun bersalin ni tak tentu pun..you datang je ke kelas..you pun tak pernah lagi missed my class..(alamaks aii..dah la jarang kat melaka, time ni je nak bersama isteri ni)

Saya :yang saya risau in case my wife delivered early then agak susah untuk saya tinggalkan dia untuk ke kelas di KL..

En Farid : thats not the issue la, you letak dia kat hospital 3 hari if let say bersalin hari sabtu..you makesure datang kelas hari ahad..(alamaks sampai 3 hari ka?..ishk2..)

Saya :cam ni En Farid, saya akan hantar isteri ke Johor after dah bersalin..

En Farid:Hiswadi..actually you sekarang kan tengah belajar Organizational Behavior (OB), so i memang nak all my student very high discipline in term of to handle problem and to have high good leadership..(dalam telefon pun kena lecture daa..nampaknya kalau bersalin awal..pi mai pi mai Melaka ke KL-Kl ke Melaka ke Johor..wow!)

Saya :ok la En Farid, actually my intention is to attend the class, saya just inform early.. anyway minta En Farid doakan supaya wife saya bersalin selepas kelas En Farid..

En Farid: InsyaAllah..saya doakan..Assalamualikum..

Saya :Waalaikumussalam..terima kasih En Farid..

Begitulah, En Farid yang amat terkenal dengan ketegasan beliau. Pulang ke rumah Dr Mazuki (pensyarah saya sewaktu ijazah pertama dahulu), beliau memberikan beberapa strategi. Beliau merupakan mentor utama (khidmat nasihat) yang amat membantu saya sejak dari dahulu hingga sekarang.

Mudah-mudahan Allah akan mempermudahkan kelahiran ini, supaya isteri dapat bersalin dalam keadaan selamat dan tenang, saya dapat hadir ke kelas untuk mengambil ujian serta beroleh cahaya mata yang bertuah ini pada ulang tahun perkahwinan kami.

Inilah ujian Allah pada saya dan isteri. Harap dapat dilalui dengan jayanya. Sesungguhnya setiap ujian itu yang dilalui dengan jayanya akan menaikkan darjat hambaNYA.Allah tidak akan menguji hambanya dengan ujian yang tidak mampu ditanggung.Doakan ya semua.

Wassalam

Thursday, December 3, 2009

Tanggal 4 Disember 2002 ( Versi 2)


Al-Fatihah




Hari ini tanggal 04/12/2009 bersamaan hari jumaat genap 7 tahun pemergian Allahyarhamah adik kesayangan saya Hiswaniza bt Anuar.

Allahyarhamah ketika itu berusia 14 tahun.

Saya mendoakan agar rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.Amin.


Wassalam