Monday, June 28, 2010

Ulama muda memilih UMNO!


1.Kemasukkan Ulama muda ke dalam parti politik UMNO merupakan 1 perkembangan politik yang amat menarik.

2.UMNO yang dilabel sebagai sebuah parti sekular atas dasar perjuangan bangsa tidak dilihat sebagai sebuah parti yang berjuang untuk agama.

3.Ramai pemerhati melihat ini adalah 1 perkembangan terbaru yang memungkinkan untuk terjadinya pilihan raya awal.

4.Disebalik kemasukkan Ulama muda ini, PM terus mengumumkan disidang medianya bahawa kerajaan memutuskan untuk membatalkan lesen judi.

5.Walaupun masyarakat islam melayu telah berpecah kepada parti selain daripada UMNO yakni PAS dan juga PKR. Statistiknya mewakili 20% untuk setiap parti.

6.Saya melihat ini sebagai satu perkembangan positif. Lebih-lebih lagi, sekiranya UMNO dan PAS walau tidak secara total namun masih ada ruang untuk diperbaiki dan dirapatkan.

7.Jurang ini tidak harus terus jauh dan jauh, sesuatu perlu dilakukan jika dilihat dalam konteks penyatuan ummah.

8.Sungguh rindu untuk melihat dasar partisan diketepikan untuk melihat penyatuan. Masih segart di memori saya, Tun Dr Mahathir dan Allahyarham Ustaz Fadzil Noor berucap di platform yang sama membicarakan isu Palestin. Kiranya, kedua-dua pimpinan besar UMNO dan PAS berupaya duduk semeja membicarakan soal islam-melayu alangkah bahagianya kita rakyat Malaysia. Namun, itu sangat dinanti-nantikan.

9.Mungkin itu tidak akan berlaku dalam 1 atau 2 tahun ini. Biarpun perubahan itu tidak 10%, tidak 0.1%, jika hanya 0.0001% ia tetap perubahan walau mengambil masa 10 tahun.

10.PAS dilihat sebgai sebuah parti yang kuat dan begitu konsisten. Rata-rata, pengundi atas pagar lebih selesa untuk memilih PAS akan tetapi penggabungan di bawah Pakatan di ketuai oleh Datuk Seri Anwar menggusarkan mereka.

11.Anggota veteran PAS mengakui, PAS akan terus mengukuh dalam jangka masa yang panjang tetapi tidak mempu bertahan dengan imej yang baik selagi berada di paksi Pakatan.

12.UMNO tentu boleh berbangga dengan perkembangan ini. Tak siapa tahu, disuatu masa Professional muda bakal menyertai PAS bagi memperkukuhkan parti itu.

13.Jika ini berterusan, tiada apa yang UMNO boleh banggakan. Ini menunjukkan UMNO dan PAS ingin bersaing menjadi Parti Politik siapa yang lebih hebat.

14.UMNO dan PAS perlu membuang ego masing-masing. Perasaan saling mencurigai antara 1sama lain perlu diketepikan. UMNO perlu memberi ruang begitu juga PAS.

15.Saya ada berdiskusi dengan seorang daripada kumpulan Ulama muda ini. Beliau berkata, UMNO menyediakan platform yang baik kepada mereka ini untuk berdakwah serta peluang ini harus digunakan. Untuk ketika ini, saya positif dengan kenyataan itu. Harapan agar peluang ini digunakan sebaiknya dan tidak dipersiakan.

16.Didoakan agar ulama muda ini terus berjaya dengan izin Allah. Jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Cakap-cakap nakal yang dilemparkan harus dibalas dengan tindakan yang dilihat sempurna!

17.Niat mereka untuk merubah UMNO jangan UMNO merubah mereka.

Wassalam

Wednesday, June 23, 2010

Semester baru bakal bermula


1.Alhamdulillah dengan izin Allah saya akan melangkah ke semester 3 pengajian Master di UUM Kuala Lumpur.

2.Walaupun pelbagai ranjau dihadapi saya amat bersyukur kepada Allah kerana memberikan saya kekuatan untuk terus mengharungi status sebagai pelajar.

3.Dua hari sebelum peperiksaan akhir saya terpaksa pulang ke Melaka kerana Dhiya Hiswaniza dimasukkan ke hospital kerana tidak sihat.

4.Saya dan isteri bermalam di hospital dan di sana lah saya menggunakan peluang untuk mengulang kaji pelajaran.

5.Terima kasih untuk isteri dan ahli keluarga yang lain yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat. Tanpa itu, pasti saya tewas. Untuk pulang semula ke KL pada jam 6.00 pagi untuk mengambil peperiksaan tidak mudah tanpa sokongan dan bantuan isteri. Sekalung penghargaan untuk beliau.

6.Kepada Assoc Prof Dr Mazuki Jusoh, bekas pensyarah yang tidak jemu-jemu membantu saya. Semasa di hospital saya memohon bantuan beliau untuk memberikan panduan untuk menjawab kertas “strategic HRM” hanya melalui telefon selama 40 minit. Penerangan beliau begitu mudah difahami dan sekali lagi saya berjaya mencatatkan keputusan cemerlang.

7.Pernah semasa di semester pertama, beliau memberikan penerangan sambil menutup mata oleh kerana tersangat letih namun dilayan jugak persoalan dan kekeliruan saya. Walaupun begitu, maklumatnya begitu berkesan dan membantu.

8.Saya berdoa kepada Allah agar terus diberikan kekuatan dan memberikan pahala yang banyak kepada insan yang sentiasa membantu saya.

Wassalam

Wednesday, May 12, 2010

Malaysia ke Separuh Akhir



1. Tahniah skuad Malaysia kerana berjaya menempah tiket ke separuh akhir.

2. Kehadiran Tun Hasmah memberikan semangat yang berkorbar kepada skuad Malaysia. Walaupun kita cemas seketika.

3. Perlawanan pertama dan kedua memang dilihat tidak bermasalah. Ternyata persembahan Lee Chong Wei dan regu pertama negara melangkah dengan penuh bergaya.

4. Perlawanan ketiga memperlihatkan Wong Chong Han memberikan persembahan yang terbaik. Lawannya 11 tahun lebih muda. Mungkin faktor usia memainkan peranan. Apa pun kekalahan yang dikira bermaruah.

5. Perlawanan keempat adalah regu "bidan terjun". Walaupun bidan terjun, persembahan sungguh cemerlang. Bukan calang-calang mereka berdepan dengan regu professional ranking ke 4 dunia. Pada set pertama memperlihatkan gandingan ini mantap, namun set kedua dan ketiga sedikit longgar dan mungkin sedikit salah faham. Boleh dimaafkan atas faktor pertama kali digandingkan.

6. Perlawanan kelima Hafiz bermain dengan lebih fokus daripada semalam. Mungkin banyak mendapat mata bonus yang disumbangkan oleh kesilapan pemain Denmark. Smash tajam juga banyak membantu Hafiz. Beliau berlawan dengan pemain yang rankingnya 24. Hafiz boleh dikatakan penyelamat skuad Malaysia, namun tidak boleh cepat berpuas hati masih banyak jalan yang berliku perlu dihadapi.

7. Perlawanan separuh akhir bertemu cina adalah satu tugas yang berat. Apa-apa pun boleh berlaku. Chong Wei akan bertemu musuh tradisinya Lin Dan. Mungkin sedikit harapan boleh diletakkan atas bahu perseorangan pertama/regu pertama dunia. Psikologi dan strategi berkesan dan terkesan perlu diterapkan ke atas skuad yang lain.

Malaysia Boleh!Selamat Berjuang!.........

Monday, April 26, 2010

Mereka Bersatu?














1. Siapakah mereka ini?pasti semua kita kenal.
2. Berapakah peratusan bangsa cina yang menolak untuk mengundi BN di Hulu Selangor?
3. Kenapakah mereka semua boleh bersatu dalam politik?
4. Mengapa kita tidak mampu untuk bersatu seperti mereka?

Persoalan yang memerlukan jawapan. Atau, sila tambah soalan anda untuk dianalisa.


Sunday, March 28, 2010

Kesan akibat stress=Tekanan darah tinggi


1. Khamis minggu lepas, saya mengalami 1 peristiwa yang mungkin tidak dapat dilupakan.

2. Saya hampir pengsan dalam keadaan separa sedar. Keadaan ini berlaku apabila saya mengalami sesak nafas serta migrain yang kuat.

3. Saya dipapah (sungguh binggung ketika itu) dan dihantar dengan keadaan basah dipipi kesan air mata yang banyak ; oleh rakan ke Pusat Perubatan Pantai Cheras untuk rawatan. Pertama kali dikejarkan ke Wad Kecemasan.Keadaan genting ketika itu. Terima kasih kepada semua rakan sekerja!

4. Dr memberikan khidmat rawatan serta merta dan saya diletakkan di “zon kuning”. Dr memeriksan pernafasan, jantung, paru-paru, tekanan darah untuk mencari punca. Syukur, tiada apa-apa . Cuma, saya mengalami kepenatan yang amat sangat serta migrain ditambah dengan stress.

5. Dr juga menasihatkan saya untuk berada di Wad untuk berehat sepenuhnya. Namun saya terpaksa menolak oleh kerana mempunyai tugas penting dihujung minggu untuk menghadiri kelas Master.Tambahan, saya dilantik mengetuai projek-projek assignment maka ia menjadi terlalu penting. Seorang ketua, pasti perlu berkorban walau apa jua keadaan.

6. Serba salah semasa di Wad Kecemasan untuk memberitahu isteri. Saya gagahkan diri untuk khabarkan keadaan diri. Ternyata, anggapan saya betul beliau membuat keputusan memandu sendiri dengan membawa Dhiya. Pada mulanya, beliau ingin menumpang seorang rakan. Saya pasrah dan bertawakal kepada Allah.

7. Sebelum itu, dek kerana tidak mahu berada di Wad, Dr membekalkan pelbagai jenis ubatan berpeket-peket banyaknya. Ini juga membuatkan saya risau. Belom pernah saya dibekalkan dengan jumlah ubat yang banyak.

8. Alhamdulillah, tepat jam 6.30pm isteri tiba di KL.Beliau memandu dalam keadaan hujan lebat dan rebut petir yang kuat. Makcik saya berdoa tidak putus-putus agar kedua-dua nya selamat tiba. Syukur, Allah memakbulkan.

9. Keesokkan harinya iaitu jumaat, saya cuba untuk berehat sepenuhnya.Namun, ia gagal. Saya memanfaatkan masa untuk membuat assignment sehingga malam. Nampak diriak muka isteri yang beliau tidak selesa dengan keadaan saya yang agak “degil” untuk tidak rehat.

10.Hari sabtu, isteri menghantar saya menghadiri kelas seperti biasa (badan masih lemah waktu itu). Semasa di dalam kelas, isteri menghantar sms menyatakan adik ipar melahirkan seorang bayi lelaki. Tahniah untuk Fat & Tasya atas anugerah Allah. Ianya amat bermakna, kerana sebelum ini saya meramalkan tarikh kelahiran akan jatuh pada tanggal 27 Mac 2010. Aura memiliki anak serta naluri seorang ayah dapat merasakan tarikh itu.

11. Selesai kelas , pada malamnya kami sekeluarga melawat ahli keluarga baru. Syukur, semua dalam keadaan baik.

12. Hari ahad, saya mengambil peluang untuk berehat.Tidak kemana-mana. Sewaktu berehat bermimpi makan aiskrim McD. Terjaga terus ajak isteri ke McD dan ke rumah Fat. Oleh kerana, pengaruh ubat yang masih ada saya tertido selama beberapa jam.

13. Selepas selesai solat, berjumpa dengan ahli keluarga lain kami sekleuarga pulang. Dalam perjalanan badan rasa tidak sihat. Saya memberitahu isteri untuk singgah di Klinik Idzham. Sewaktu pemeriksaan Dr memberitahu BP saya tinggi 160/90. Dr memberikan cuti rehat 3 hari serta merta dan menasihati supaya datang kembali pada hari rabu untuk mengetahui tahap darah, sebelum melakukan diagnosis lain. Dr menasihati supaya berehat, jika tidak keadaan berbahaya dan mungkin berulang! Hanya Allah mengetahui isi hati saya ketika itu. Isteri “mengarahkan” berpantang serta merta dan perlu menjaga pemakanan.

14. Sewaktu mendengar, saya sungguh risau serta terasa sungguh gusar akan keadaan kesihatan. Bersembang dengan isteri dan beliau menasihati supaya mengikut beliau pulang ke Melaka.Jadi, saya turut serta memandu perlahan-lahan walau dalam keadaan yang masih pening. Mungkin, di bumi Hang Tuah ini mampu memberikan kualiti masa rehat yang baik.

15. Hebat kesan akibat stress ini. Selepas ini, saya akan lebih menenangkan diri, belajar untuk lebih “cool” serta tidak terlalu mengejar kerja menyiapkan dalam keadaan 2 kerja dalam 1 masa. Oleh kerana, mungkin saya seorang yang berpersonaliti “Type A”.

16. Sememangnya ya, semenjak, 2-3 minggu lepas, saya amat memikirkan keadaan keluarga. Keadaan isteri dan anak, keadaaan keluarga di Pulau Pinang (nenek yang sedang sakit), Keadaan ayah mentua juga sedang sakit, keadaan kerjaya dan pelajaran sendiri membuatkan situasi getir. Tambahan perjalanan ke sana-sini yang tidak henti-henti (KL-Pulau Pinang-Melaka-KL). Maka kesannya saya diserang!

17. Dr Mazuki Jusoh (Mentor) , menasihati saya untuk lebih merehatkan diri. Kata beliau “Dee stress kalau menyerang memang real”. Lebihkann masa untuk berehat.Juga, kepada Tok-Tok Guru lain dan sahabat yang menelefon memberikan nasihat Us Fadhlan, Abg Idzwan, Zaki, Adib, Abg Munif, kak Shayu serta yang lain yang tidak saya senaraikan.Terima kasih atas doa kalian. Saya hargai!

18. Kepada isteri, yang berkorban untuk saya dalam apa jua keadaan tanpa menghiraukan keadaan diri sendiri. Semoga diberikan balasan yang setimpal oleh Allah.

19. Apa pun saya berdoa kepada Allah, agar memberikan kesihatan baik seperti sedia kala, supaya saya dapat kembali bertugas serta mampu untuk memberikan fokus kepada isteri dan Dhiya kerjaya, pembelajaran. Agak kekok, melihat isteri membawa kereta sambil saya disebelah, melihat beliau membawa beg, mengangkat barang-barang, menguruskan kerja secara bersendirian membuatkan saya tersentuh. Itu semua kerja saya seorang suami.

20. Harap Allah mendengar rintihan kami. Agar kami sekeluarga dapat tinggal sebumbung agar kehidupan kami lebih terancang dan selesa. Kabulkan Ya Allah.Amin.

Wassalam

Sunday, February 21, 2010

Bulan berkunjung ke Klinik & Hospital.


1. Bulan ini memperlihatkan kami sekeluarga sering turun naik tangga klinik & hospital.

2. Bermula apabila isteri dimasukkan ke Hospital Pusrawi untuk menjalani satu pembedahan.

3. Selepas itu, beliau terpaksa pula menjalani pemeriksaan rutin di Hospital. Tidak cukup dengan itu selepas pembedahan setiap hari saya perlu menghantar beliau untuk melakukan “dressing” iaitu mencuci kesan pembedahan. Jika dikira lebih 10 kali.

4. Sungguh kasihan melihat keadaan isteri. Namun, syukur Alhamdulillah Allah memberikan beliau kekuatan untuk berhadapan segala kemungkinan.

5. Saya juga mengalami demam. Sekurang-kurangnya saya berkunjung ke 3 klinik.

6. Dhiya juga tidak berapa sihat. Anak kecil molek saya ini juga hampir 4 kali saya membawa beliau berjumpa Doktor.

7. Agak bimbang, pada minggu lepas apabila Doktor membayangkan isteri kemungkinan terpaksa melakukan pembedahan kali ke-2 nya. Syukur dan lega tadi apabila Doktor mengesahkan tidak perlu sebaliknya perlu datang sekiranya terasa ada kelainan.

8. Pengalaman berkunjung ke Klinik & Hospital membuatkan saya dan isteri mampu membuat satu hasil analisis lengkap tentang tahap kecekapan, pengurusan, perkhidmatan, perundingan, pembayaran, pengoperasian, rawatan, kemudahan, layanan, perwatakkan, penampilan serta khidmat nasihat.

9. Satu kekecewaan juga apabila klinik swasta memberi layanan seperti klinik kerajaan.

10. Tahap Hospital swasta juga perlu diperkemas supaya hospital milikkan islam mampu setaraf dengan hospital yang dimiliki oleh bangsa lain.

11. Saya suka mencadangkan supaya hospital yang baru hendak melonjak naik namanya supaya menjadikan hospital lain yang sudah lama menapak sebagai “benchmark”. Ini penting untuk memberikan keberkesanan perkhidmatan dan menjamin kepuasan pelanggan.

12. Setiap kali berkunjung ke Klinik dan Hospital saya suka membaca piagam pelanggannya yang tersergam indah dengan girang. Namun, perkhidmatannya membuatkan saya bermasam muka. Hanya segelintir.

13. Bagaimana pula dengan klinik 1 Malaysia?Hairan kenapa hanya pembantu perubatan yang bertugas.Apakah mereka layak untuk memberikan khidmat nasihat dan rawatan setanding Pegawai Perubatan U41.

14. Jadi, saya tidak lagi nampak keberkesanan klinik 1 Malaysia ini. Ianya idea yang baik tetapi perlu selari dengan kehendak masyarakat. Sesungguhnya, ia penting untuk rakyat memperolehi manfaat.

15. Saya bersetuju dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) iaitu hanya pengamal perubatan yang layak dan berdaftar sahaja yang perlu ditempatkan di klinik 1 Malaysia ini.

Wassalam

Wednesday, February 3, 2010

Kisah bersama Tun Dr Mahathir Mohamad




1.Dua hari lepas, semasa dalam perjalanan saya terserempak dengan sebuah kereta berplat WLJ 92 BMW 7 Series lengkap dengan rombongan keselamatan.

2.Selang beberapa saat, teringat saya rupa-rupanya ia adalah kepunyaan Tun Dr Mahathir.

3.Pagi itu juga, saya mengimbau kembali perjumpaan saya bersama beliau suatu masa dahulu.

4.Perjumpaan yang pada asalnya, saya dicabar oleh Dr Ong Puay Tee, Pensyarah Fakulti di Universiti untuk menguruskan perjumpaan ini.

5.Pada asalnya, saya tidak yakin bagaimana saya hanya seorang pelajar perlu kreatif untuk mencari jalan menulis surat, menggunakan saluran tertentu, merisikkan maklumat untuk bertemu seorang negarawan ulung Malaysia. Terima kasih jua kepada rakan terdekat iaitu Marzukhi bin Md Saleh dan Nik Mohd Faisal bin Nik Aziz atas bantuan dan sokongan.

6.Ketika itu banyak ranjau ditempuhi, oleh kerana ketika itu Tun begitu banyak sekali memberikan komen dan kritikkan semasa era Tun Abdullah Badawi memegang tampuk pemerintahan Malaysia.

7.Saya kuatkan hati, sekiranya niat kita baik dan ikhlas sudah pasti Allah bantu.

8.Ternyata, selepas 2 minggu berusaha saya mendapat khabar berita daripada Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya Tun bersetuju untuk menemui kami seramai 32 orang.

9.Hati gembira tidak terkata, Dr Ong melompat riang gembira.

10.Saya ditugaskan untuk mengetuai delegasi pelajar dalam perjumpaan ini. Pelbagai kajian soalan yang telah saya lakukan. Al-maklum, maklumat daripada seorang rakan Tun akan menjadi lebih gembira apabila soalan yang ditanyakan bersandarkan kepada fakta dan tidak memuji beliau. Lebih-lebih lagi tajuk yang dipilih adalah yang beliau suka. Berbunyi “Change Management in Nation Building”.

11.Tatkala, tiba di perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana jantung berdebar menanti beliau untuk masuk menemui kami.

12.Semasa beliau memasuki bilik mesyuarat tiada seorang yang mampu berkata-kata hanya memerhati wajah bersih beliau secara dekat dan beliau begitu bersahaja sambil sentiasa tersenyum. Nampak beliau begitu berkarisma dan segak walau berusia 82 tahun ketika itu. Hatta, sehingga sekarang.

13.Itulah Tun! Beliau memiliki aura tersendiri. Lidah terkelu ketika ingin memulakan sesi dengan beliau. Saya memulakannya dengan baik.

14.Beliau berkata kepada saya “you boleh jadi leader yang baik jika kita benar-benar ikhlas dalam kepimpinan dan perjuangan dan lakukan sesuatu dengan penuh minat dan kita tidak akan jemu dan penat”.

15.Tun banyak memberikan nasihat dan motivasi. Beliau banyak menyentuh soal ekonomi dan bagaimana idea yang beliau ada untuk diterjemahkan menjadi realiti. Soal disiplin begitu banyak yang beliau perkatakan.

16.Saya mencuba untuk bertanyakan soalan politik, sebaliknya beliau tidak menjawab dan hanya tersenyum sinis melihat saya. Namun, disebalik senyuman itu tersimpan makna yang mendalam terhadap kepimpinan Malaysia ketika itu.

17.Beliau seorang yang digeruni oleh kawan dan lawan. Pemikiran beliau hebat dan futuristik tidak mampu dipintas oleh orang lain.

18.Sesungguhnya, saya merindui kepimpinan beliau dalam membangunkan negara. Tiada huru-hara, tiada rusuhan, tiada perasaan gundah, tiada kerisauan, tida konflik, tiada ketegangan. Beliau bijak dalam mentadbir Malaysia walau berlainan agama dan bangsa.

19.Sekarang di Malaysia, anda nilailah sendiri.

Wassalam