Wednesday, November 26, 2008

MAJLIS KONVOKESYEN

Pada 22hb November yang lepas saya berkesempatan menghadiri Majlis Konvokesyen IIC yang Ke-empat. Adalah sesuatu yang amat membanggakan melihat pelajar-pelajar menaiki pentas dengan penuh bergaya, pakaian yang baru, yakin dengan langkah dan menghulurkan tangan sambil menerima skroll daripada Tengku Puan Pahang, Tuanku Azizah Aminah Maimunah.

Disana saya dapat melihat kemeriahan ibu-bapa yang amat gembira terhadap kejayaan anak-anak mereka. Walaupun datang dari utara ataupun selatan, tak lupa yang tinggal nun jauh di timur dan barat sana tidak terasa kepenatan melihat anak-anaknya yang berjaya.Tahniah saya ucapkan.

Sebagai bekas pelajar pengambilan pertama dan bekas tenaga pengajar di Kolej Islam Antarabangsa saya tidak dapat lari daripada mengingati memori sewaktu bergelar pelajar dahulu. Seingat saya, pada tanggal 30hb Jun 2001 saya mendaftar sebagai pelajar Diploma Pentadbiran Perniagaan. Ayat pertama keluar daripada mulut ibu saya “Dee ingat naa belajaq baik-baik, toksah dok main-main..kalau dah register masuk ni maknanya register untuk dapat diploma terus naaa”.Itulah perkataan keramat yang saya pegang sampai sekarang, maknanya lebih kurang alang-alang seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Pelbagai ranjau yang saya hadapi sewaktu disana dahulu, antara gelaran kepada kami ialah “bahan eksperimen dan tikus putih”. Masalah utama yang dihadapi ialah asrama, kerja kami hanyalah berpindah-randah lebih kurang seperti orang nomad mencari gua-guanya. Dari asrama ke :-
  • Sekolah Menengah Teknik Sg Pusu (3 minggu)
  • Hotel Grand Olympic Jalan Hang Jebat (1 minggu). Disini amat menarik, jam 3.00 petang ku sangkakan 8.00 pagi.Al-maklumlah tinggal di hotel bukan hostel dah tu gelapnya seperti malam.
  • Selepas itu kami diarahkan pula ke asrama di Diamond Square (3 bulan) yang menjadi persinggahan terakhir sebelum ke rumah sewa. Yang menarik, di asrama ini kami gelarkan sebagai “istana Takeshi”.

Boleh anda bayangkan sebuah apartment diubah suai menjadi :-

  • 5 partion yang memuatkan 5 org 1 partition dan 25 orang untuk 1 apartment.
  • Tak cukup dengan itu kemudahan tandas dan bilik air pula diubah suai menjadikannya 5 station tandas, dan 5 station bilik air.
Hidup seperti sardin didalam tin. Yang paling membuatkan kami “hangin satu badan” apabila bangun pagi untuk bersiap ke kelas jam 8.00 pagi, seeloknya perlu bangun seawal mungkin untuk beratur lebih kurang seperti filem P.Ramlee “Seniman bujang lapuk” beratur memasuki tandas. Dan kekadang itu, ada kawan-kawan yang suka “menikmati masa-masa lama”, maka mandi pun sudah tidak sempat. Mana tidaknya selepas itu kami perlu pula berjalan kaki sejauh 2 KM untuk sampai ke “kampus IIC” di tepi Jalan Gombak sebelah kilang beras sebelum jam 8.00 pagi untuk memasuki kelas bahasa inggeris pensyarahnya Mr.Mulkit Gill Singh. Beliau akan memarahi sesiapa yang masuk lewat.Ayatnya “Hey you why late haaaa?.(rindu nak dengar ayat ni beserta dengan ton-tonnya ala-ala Amitabachan). Dan apabila jumlah pelajar makin bertambah apartment (sekarang asrama puteri) di belakang bangunan kolej dijadikan kelas sehingga ke tingkat 4. Bukan itu sahaja, basement car park yang dibawah asrama puteri pun menjadi mangsa dek kerana tidak mampu lagi pihak pengurusan menyediakan tempat sehinggalah kolej berpindah ke Taman Batu Muda.

Itulah antara pengalaman menarik yang dapat saya coretkan, amat seronok untuk dikenang. Namun syukur Alhamdulillah, berkat kesabaran kami semua dapat menamatkan pembelajaran tanpa ada rasa dendam terhadap pengurusan Kolej Islam Antarabangsa ketika itu. Sebaliknya berterima kasih kerana mendidik kami dengan segala kesusahan yang membuatkan kami menghargai apa yang diterima.Sehinggalah saya memiliki segulung ijazah dan ramai juga di kalangan “first Batch” yang menjawat jawatan penting di sekor awan dan swasta. Syabas dah tahniah saya ucapkan.

Kepada graduan-graduan yang baru ini, Ingatlah perjalanan anda masih jauh. Pelbagai ranjau dan duri menanti anda nun jauh disana. Banyakkanlah berdamping dengan orang yang sudah dewasa dan berilmu nescaya mereka ini akan membantu anda dari mengikuti jalan yang penuh lubang dan lopak yang akan membuatkan anda lambat sampai ke destinasi. Tuntutan ilmu belum berakhir, walau kita bergelar Profesor selepas ini ilmu ini diibaratkan seluas-luas lautan dan ilmu yang kita miliki sekarang hanya setitis air yang amat kecil.

Kepada pelajar-pelajar sekarang, saya doakan anda akan terus cemerlang dan bersyukur dengan apa yang ditawarkan oleh pihak pengurusan. Boleh dikatakan anda semua bertuah dengan apa yang dimiliki sekarang dan jangan menjadi hamba yang kufur nikmat. Kami semua dah buktikan walaupun tiada kemudahan canggih, tiada court futsal, tiada wireless walaupun hanya kolej empat tingkat namun kejayaan mampu kami gapai. Seharusnya anda semua perlu lebih berjaya dengan apa yang ditawarkan.

Kepada pensyarah-pensyarah teruskan mendidik anak bangsa untuk meneruskan kecemerlangan syiar islam. Tanpa ilmu butalah kita semuanya, dan janganlah jemu dalam mendidik sesungguhnya tanpa anda tiada bermakna hidup saya ini. Tahniah untuk sekaliannya!

Wassalam.

Saturday, November 1, 2008

Tiada Lagi Madah Berhelah



Hari Jumaat hari kelam kabut
Sebab saya buat semua orang terkejut
Tiada hujan tiada ribut
Satu kolej macam nak tercabut

Satu Johor satu Penang
Sampai-sampai saya naik pening
Tengok lantai tengok siling
Kena kerumun dengan orang sekeliling

Lepas ke kaunseling pi sbs
Semua orang nampak penat abes
Tiba-tiba saya bagi short notis
Semua orang sampai nak menangis

Tengok kiri tengok kanan
Duduk bersila buat pengumuman
Orang menunggu rasa tak keruan
Apa yang bakal saya sampaikan?

Akhirnya tiba tanda bernoktah
Dah tak mau lagi nak bermadah
Tiba-tiba semua cedera parah
Sebab saya dah nak bernikah

ORANGNYA BERNAMA SITI ZAKIAH (HAHAHAHAHA)
Stay Tunes...Stay Alives!

Thursday, October 9, 2008

Datuk Seri Najib bakal PM?

Akhirnya Datuk Seri Najib telah pun mengumumkan yang beliau akan bertanding untuk jawatan Presiden. Dengan pengunduran YAB Pak Lah pada bulan Mac 2009 akan memberikan impak pembaharuan kepada soal mencorak perubahan di dalam parti mahu pun negara.

Putera sulong Tun Abdul Razak ini diberikan satu tanggungjawab yang amat besar sekali untuk mengharungi badai ombak yang amat bergelora. Ini berikutan kekalahan besar BN membuatkan politik UMNO goyah dan semakin malap. Beliau dianggap menanggung dan menahan bangunan KLCC daripada runtuh. Mana tidaknya, adalah sesuatu tugas yang amat sukar. Tidak seperti YAB Pak Lah sewaktu mengambil pemerintahan daripada Tun Dr Mahathir yang membawa tema mengurus kejayaan sebalik Datuk Seri Najib membawa tema “mengembalikan kepercayaan”

Sudah tentu rakyat terbanyak inginkan sebuah harapan baru serta perubahan yang amat besar. Datuk Seri Najib ini dilihat sebagai orang kanan Tun Dr.Mahathir. Apakah perubahan yang akan dibawa?apakah akan ada lagi satu mercu tanda Negara?apakah akan ada visi 3030?

Suka saya tegaskan, Malaysia memerlukan sebuah pemerintahan yang tegas dan berani. Bukan selama-nya kita perlu berada pada zon selesa dan tidak selamanya kita akan menguasai pentas politik Malaysia. Suara-suara bukan melayu sedah semakin berani ingin mengambil alih kepimpinan Negara. Sewaktu era pemerintahan Tun Dr Mahathir kita dapat lihat bagaimana tegasnya kepimpinan Tun dan membuatkan parti-parti komponen tidak berani memperkatakan sesuatu yang sensitif dan menyakitkan umat melayu islam.

Tetapi ini tidak berlaku sekarang. Hanya sekadar perkara kecil pun sebuah parti politik itu sudah membuat ugutan untuk mengkaji kedudukan di dalam BN. Bukanlah kita ingin salahkan sesiapa tetapi ini perlu diperbetulkan. Selain itu, beralihnya sokongan pemuda warisan Negara untuk menyokong parti pembangkang. Saya tidak menyalahkan golongan ini sebaliknya mengapa golongan ini beralih angina. Dahulu kala ramai pemuda melihat menyertai UMNO ini ibarat menjaga benteng pertahanan Negara sekarang menyertai UMNO ibarat menyertai parti untuk buat duit saja seperti masuk MLM!Datuk Seri Najib perlu memenangi kembali hati akar umbi. Hati 27 juta rakyat Malaysia perlu dimenangi.

Isu kontrak sosial yang selama ini tidak pernah disentuh, sekarang ini telah menjadi isu bualan hangat. Makanya Datuk Seri Najib perlu mempertahankan hak keistimewaan dalam apa cara sekali pun. Semua orang tahu melayu mempunyai hak keistimewaan namun adakah kita tahu sejauh mana keistimewaan kita?adakah sekadar tercatit di dalam perlembagaan dan untuk dibahas oleh bangsa lain tetapi tiada pun yang istimewanya! Apa yang istimewa untuk orang melayu atau sekadar ais krim magnolia?

Datuk Seri Najib harus membuktikan beliau mampu mengemudi Malaysia. Dengan jenayah rasuah yang semakin menjadi barah perlu ditangani dengan tegas dan penuh beramanah. Maka seharusnya beliau menyuarakan dengan tegas. Tetapi dengan syarat beliau perlu banyak bersabar dalam menyelesaikan kemelut rasuah terutamanya parti UMNO. Di kala ini, Datuk Seri Najib janganlah terlalu berbangga sebaliknya banyak menginsafi diri serta perlu melihat ke bumi untuk memastikan kaum-kaum melayu terbela dengan baik.

Apakah teori RAHMAN selama ini betul dan tepat? Sama-sama kita nantikan.

Wassalam

Wednesday, October 8, 2008

Pengunduran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Seperti diketahui umum, YAB Pak Lah telah secara rasmi mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden. Ini secara jelas menunjukkan beliau menghormati pandangan akar umbi yang meninginkan beliau untuk menyegerakan pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui pada mulanya Jun 2010.

Antara individu yang memainkan peranan penting ialah Tan Sri Muhyddin. Beliau menegaskan pelan perlihan kuasa 2010 semakin tenggelam dan rakyat inginkan pelan ini dipercepatkan. Ini berdasarkan kepada kehendak rakyat yang ingin perubahan memandangkan tidak pernah berlaku dalam sejarah BN sepanjang 50 tahun memerintah kalah di Lima negeri. Satu tamparan hebat juga apabila Datuk Seri Anwar berjaya merampas kembali kerusi parlimen Permatang Pauh dengan majoriti jauh lebih tinggi berbanding isteri beliau.

Namun disebalik pengunduran beliau ini, kita dapat lihat seakan-akan satu trend berlaku apabila begitu ramai individu-individu menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi parti. Lebih mengejutkan apabila seorang ketua cawangan UMNO pun turut mengumumkan untuk bertanding ke jawatan kanan parti iaitu Naib Presiden dan mendakwa memiliki sokongan akar umbi. Bukanlah niat saya untuk memperlekehkan kebolehan sesiapa sepatutnya kita perlu "mengukur baju dibadan sendiri" dan melihat kembali akan kriteria yang perlu ada hatta siapa pun kita. Walaupun UMNO mengamalkan demokrasi dan membuktikan demokrasi amat sihat dan subur namun ini tidak boleh dijadikan alasan.

Kita patut sedar bahawa parti UMNO ini merupakan satu parti keramat yang berjaya membawa kepada sebuah negara yang merdeka. Sejarah menunjukkan kehadiran UMNO di Malaysia telah berjaya membawa pelbagai perubahan terutama pembangunan dan juga soal penyatuan kaum. Ini menunjukkan bahawa bukanlah calang-calang orang sebaliknya hanya individu yang luar biasa sahaja yang mampu mengepalai UMNO. Sebab itu, YAB Pak Lah pun membuat keputusan untuk berundur saja!

Keberkesanan sistem kuota yang diperkenalkan semasa era Tun Dr Mahathir nampaknya masih berkesan. Ini juga berfungsi sebagai "filtering system" yang bertujuan untuk menyingkirkan bendasing-bendasing yang asing dan bukannya perpisahan terasing.


Wassalam

Wednesday, September 10, 2008

Tanggal 16 September…

Apabila tiba bulan September sudah pasti saya dan adik saya ini akan bertambah umur. Kami berdua berkongsi tarikh lahir yang sama yakni tanggal 16 September. Satu tarikh yang amat bersejarah apabila pembentukkan Malaysia berlaku pada tarikh ini. Dewasa ini, tarikh ini amat kontroversi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan akan membentuk sebuah kerajaan baru iaitu “Kerajaan Pakatan Rakyat”. Beliau amat yakin dengan mendakwa, telah meyakinkan sekurang-kurangnya 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah dan Sarawak untuk menyertai Kerajaan baru ini.

Memakai topi “cowboy” (Syeriff Hisham),ahaks..



Namun, entry saya untuk kali ini bukanlah untuk menceritakan berkenaan Kerajaan baru. Tetapi untuk menulis berkenaan dengan adik saya ini. Untuk pengetahuan, beliau dilahirkan pada tanggal 16 September 1994. Kalau dihitung, beliau sekarang sudah berumur 14 tahun.



Wah macam tepung “komak”..




Ibu saya



Menjadi cabaran, untuk kami sekeluarga menguruskan aktiviti harian beliau. Untuk maklumat, beliau adalah golongan OKU (orang kurang upaya), atau dipanggil juga sebagai “Down Syndrome”. Bukan itu saja, beliau juga tidak mempunyai keupayaan untuk berjalan dan berdiri. Untuk rekod, beliau pernah dimasukkan sebanyak 4 kali di hospital apabila menjalani pembedahan usus besar. Dan adalah sesuatu tempoh yang panjang apabila Ibu saya, Puan Hasnah Bt Pin menjadikan hospital sebagai “rumah kedua” apabila rawatan untuk beliau menjangkau selama 2 bulan bersamaan 60 hari. Sehinggakan Doktor dan Jururawat menjadi kawan pagi, petang, siang dan malam.



Bersama Kucingnya..



Kakak saya


Setiap pagi Kakak saya, cik Hiswani Binti Anuar akan menguruskan segala aktiviti berkaitan beliau. Adalah satu pengorbanan besar, apabila Kakak mengambil keputusan untuk tidak bekerja dan memegang jawatan sebagai “Pembantu Peribadi 24 Jam” kerana umur adik Hisham yang kian meningkat, untuk memastikan beliau sentiasa dijaga dengan begitu rapi. Ini disebabkan urusan harian seperti mandi, makan, minum, tidur dan sebagainya diuruskan sepenuhnya oleh kakak.

Apa yang menyedihkan, beliau tidak diterima untuk bersekolah. Pihak JPN menyatakan beliau boleh diterima untuk bersekolah bila mampu untuk berjalan. Sejak daripada dahulu sehingga sekarang, kami tidak pernah jemu untuk berusaha memastikan beliau mampu berjalan dan berdiri antara rawatannya ialah homeopathy, sesi urutan pakar dan pemeriksaan hospital secara berkala. Mungkin belum rezeki agaknya untuk melihat beliau boleh berjalan.

Takut duduk atas kerusi malas…

Tuan Anuar Hj. Maarof



Bapa saya, Tuan Anuar Bin Hj. Maarof dilantik menganggotai jawatankuasa “Penang Downsyndrome Association” (PDA) untuk mencari apa-apa kaedah perlu untuk adik bertuah saya ini. Pertubuhan ini, ditubuhkan untuk menghimpunkan ibu-bapa yang mempunyai anak seperti beliau untuk sama-sama berbincang dan berkongsi permasalahan untuk memastikan golongan seperti ini mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada pihak-pihak tertentu. Alhamdulillah, peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh keluarga saya untuk memastikan kemajuan Hisham.

Apa yang pasti, Hisham ini adalah anak yang bertuah sekali. Semenjak beliau dilahirkan rezeki kami sekeluarga amat murah sekali. Sehinggakan Bapa saya dinaikkan pangkat dalam bulan itu juga. Pernah kawan berbangsa cina berkata kepada bapa saya“ Anuar..ini anak manyak onggggg maaa..kalau you tak mauu ini anak you boleh kasik sama gua…”. Terkejut beruk juga saya pada masa itu!


Action…



Antara istimewanya Hisham ini, beliau begitu berminat sekali untuk mengikuti pidato-pidato politik. Yang bestnya, beliau tahu siapa yang bercakap dan yang paling dia suka ialah Tun Dr Mahathir Mohamad. Pernah satu ketika beliau tidak mahu makan apabila Tun memberikan ucapan dikaca televisyen dan akan tunggu sehingga tamat baru beliau berganjak. Antara kelebihannya, sesiapa saja yang berada dengan beliau pasti tidak mahu balik kerana Hisham ini sangat pandai bergurau dan membuatkan orang terpikat dengannya.

Walauapapun yang berlaku, kami sekeluarga akan pastikan 100% Hisham ini akan terjaga dan terbela sepenuhnya. Pengorbanan yang besar dilakukan oleh seluruh ahli keluarga saya akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Lebih-lebih lagi dibulan ramadhan yang mulia dan barakah ini.

Saya amat mengalu-alukan sidang pembaca untuk berkongsi cerita berkenaan dengan adik saya ini. Dikesempatan ini juga, saya mengucapkan selamat hari lahir ke-14 untuk adikku Muhammad Hisham. Semoga adik akan terus kuat dan ingatlah abang sentiasa ada dengan adik.

Wassalam.

Wednesday, September 3, 2008

Pulau Pinang atau “Penang”?

Kesempatan bercuti di negeri kelahiran memberikan saya peluang yang banyak untuk meninjau serta membuat pemerhatian berkenaan nasib bangsa kita iaitu kaum melayu di negeri pemerintahan kerajaan negeri DAP ini.

Bermulanya di Lebuhraya Expressway Jelutong yang baru dibina menghubungkan Bandar Baru Jelutong (tempat tinggal saya) dengan Padang Kota Lama (Ford Cornwallis) membuatkan perjalanan yang memakan masa 30 minit sebelum ini, hanya mengambil masa 10 minit dari Jelutong untuk tiba di Padang Kota Lama. Saya melihat pembangunan disepanjang lebuh raya ini bagaikan “cendawan tumbuh selepas hujan”. Pelbagai kawasan baru yang dibuka contohnya pusat komersial perniagaan dengan kondominum serta rumah teres yang berharga ratusan ribu ringgit yang membuatkan kaum melayu hanya mampu LLN bukan Lembaga Letrik Negara tetapi (Langut-Langut Naik) iaitu mampu melangut memanjangkan leher namun untuk memiliki kediaman ini jauh sekali.

Apa tidaknya, pembangunan yang dibangunkan ini tidak langsung akan membuka peluang untuk bumiputra merasai kediaman baru mampu milik. Kalau dilihat di kawasan kampung yang dikenali sebagai Telaga Rendah dan Jalan Masjid yang dahulunya menempatkan rumah-rumah kampung milik masyarakat melayu akan tetapi sekarang ini mereka dihimpit hutan batu. Tanah yang asalnya milik warisan keluarga tidak mampu lagi dipertahankan oleh pemiliknya dek dikaburi dengan wang ratusan juta ringgit.

Saya sempat untuk berbual dengan salah seorang penduduk kampung yang mengatakan “Dee (nama panggilan keluarga pada saya) lani orang cina hambat melayu dengan duit..depa ni kaya boleh buat apa saja..kita ni apa yang ada kalau tak bumbung yang dah berkarat ni”.Inilah realiti yang dihadapi oleh Masyarakat Melayu Pulau Pinang. Tidak dapat dinafikan pembangunan amat hebat di Pulau Pinang ini, namun siapakah yang menjadi pemilik sebenar disebalik pembangunan yang mantap ini. Apabila tanah diambil oleh syarikat pemaju untuk mendirikan rumah yang bernilai ratusan ribu ringgit ini mereka tidak sesekali menghiraukan sensitiviti kaum melayu. Umpamanya, tanah dan rumah yang diambil oleh pemaju, mereka akan memberikan sejumlah wang tetapi tidak pada mereka yang memiliki rumah.

Sebaliknya, pihak pemaju hanya akan menggantikan rumah yang agak tidak setimpal. Kalau dahulu rumah yang dimiliki walaupun ala kampung mampu untuk anak-anak menendang bola didalamnya akan tetapi konsep “rumah ganti rumah” tajaan sesetengah pemaju ini membuatkan “kucing pun tidak mampu berlari didalamnya”.Kata seorang panduduk “Untuk membeli rumah baru buat tu.. tujuh keturunan pun kami tak mampu, apa yang ada sangat dengan diskaun 5% untuk bumiputra”.Lebih malang lagi, rumah ganti rumah ini disiapkan dengan sungguh ala kadar bagai melepaskan batuk di tangga.Unit yang amat tidak sempurna dengan tidak sepadannya dengan rumah yang dibina untuk dijual. Perbezaannya seperti Istana dan rumah kayu, diibaratkan seperti hidup dalam kotak sahaja. Hidup dalam buangan pun mewah!!

Sementelah itu, kalau dihitung penduduk melayu di Pulau Pinang ini boleh dikatakan agak kurang juga daripada 15 tahun yang lepas. Seolah-olah berlaku satu strategi yang cukup licik untuk “menghalau” melayu Pulau Pinang .Ini dapat dilihat apabila pertambahan populasi penduduk melayu yang agak luar biasa di Sungai Petani, Kulim dan Kepala Batas. Apakah ada pihak yang ingin menempatkan kaum cina menguasai tanah di sebelah pulau manakala kaum melayu di tanah besar?? Adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya ini terjadi. Mana tidaknya, kalau dilihat perbezaan daripada harga rumah, umpamanya rumah apartment (bertanahkan angin) di sebelah Pulau berharga RM 130,000 namun untuk rumah teres (bertanahkan bumi) di sebelah Tanah besar hanya bernilai RM 70,000.

Saya berpendapat, sesuatu perlu dilakukan oleh parti yang mewakili Melayu Islam Pulau Pinang. Sekiranya sesuatu tidak dilakukan, saya khuatir Pulau Pinang akan menjadi Singapura kedua yang akan membuatkan penduduk melayu menjadi pelarian di negeri sendiri. Janganlah! Kerana ingin menjaga kepentingan peribadi masalah umat diketepikan. Kalau ini berlaku “Rosak Umat Melayu”.

Untuk sidang pembaca sekalian, terima kasih kerana melawat dan membaca blog saya ini. Satu persoalan yang saya tinggalkan untuk anda jawab.Dapatkah anda berfikir dan menjawab persoalan Pulau Pinang untuk siapa dan Penang untuk siapa? Tepuk dada Tanya selera!!

Selamat berfikir dan menjawab.

Wassalam.

Monday, August 25, 2008

Hari Pengundian Permatang Pauh

Menjelang 14 jam sebelum hari pengundian saya menerima pelbagai SMS mengajak untuk mengundi calon-calon tertentu. Bahang untuk mengundi semakin dirasai oleh semua pihak. Adalah satu bonus untuk saya walaupun dah 3 bulan menanti bonus yang telah dijanjikan belum lagi dilihat di paparan skrin ATM (orang tertentu saja yang faham) berpeluang untuk ke Permatang Pauh untuk meninjau sendiri perkembangan dihari pilihanraya esok.

Tidak dapat dinafikan, tokoh-tokoh yang bertanding amat hebat belaka. Siapa yang tidak kenal Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap mantan Banduan Sungai Buloh yang amat gemar mundar sana mundar sini tanpa sebarang jawatan. Ucapan yang sungguh berbisa membuatkan orang yang tertidur berlari mendapatkan suara beliau itu. Satu percubaan yang baik untuk mendapatkan jawatan sebagai Ahli Parlimen. Mari kita sama-sama lihat apakah beliau berjaya membuat kejutan untuk “come-back” ke arena politik Malaysia yang penuh dengan fitnah dan adalah satu budaya baru apabila ahli-ahli politik sungguh bangga dan gembira melafazkan sumpah!!!

Tokoh kedua,YB Datuk Ariff Shah Omar Shah, sebut saja nama semua orang akan cakap “ni OCBC” maaf bukan OCBC Bank tetapi OCBC bermaksud (orang cina bukan cina).Salah seorang yang amat unik sekali. Beliau ini memiliki kebolehan yang luar biasa untuk berkomunikasi dengan baik sekali dalam bahasa mandarin, kantonis dan hokkien. Di Seberang Jaya, beliau amat terkenal dan adalah satu pencapaian tertinggi apabila pusat khidmat beliau dianugerahkan sijil pengiktirafan ISO. Bukan satu yang mudah untuk dianugerahi sijil ini, disebabkan tidaklah ramai YB-YB yang rajin untuk berkhidmat dengan cemerlang sebegitu.

Tokoh ketiga, En Hanafi Mamat Presiden AKIM. Sebuah parti serpihan PAS. Menariknya, beliau tiba-tiba menjadi terkenal apabila bertindak sebagai calon pilihan ketiga untuk sama-sama memberi tentangan hebat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahin dan Datuk Arif Shah Omar Shah. Janganlah pengundi-pengundi melihat beliau sebagai calon yang terpencil dan tersepit pelbagai kejutan boleh berlaku yang memungkinkan beliau untuk menyapu bersih semua undian penyokong PAS. Kita nantikan sama ada kejutan itu dapat dilakukan oleh beliau atau tidak.

Bagi saya, sekiranya pengundi memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim bermaksud mereka ingin melihat corak politik yang akan bertukar menjadi tsunami kedua selepas 8 Mac 2008. Mereka inginkan sebuah “enjin baru” untuk berfungsi menukar iklim sejuk menjadi panas. Mungkin juga mereka rindukan suara lantang Datuk Seri Anwar di dalam parlimen yang akan berhadapan dengan Perdana Menteri pada 29 Ogos ini dikala bajet 2009 akan dibentangkan. Atau mereka inginkan seorang Perdana Menteri Baru? Sama-sama kita nantikan!!!

Sekiranya YB Datuk Ariff Shah Omar Shah bermakna pengundi Permatang Pauh inginkan pembangunan yang seimbang di sana. Tiga penggal dibawah pembangkang penduduk tidak dapat melihat pembangunan yang berkesan hendaknya. Datin Seri Wan Azizah juga ada sebut “adalah susah untuk saya memajukan kawasan tanpa mendapat apa-apa dana serta bantuan”. Ini juga bererti mereka menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak dapat menerima budaya politik baru yang dibawa beliau iaitu bersengkokol dengan DAP yang satu masa dahulu beliau sendiri mencemuh dan berkata ideologi politik DAP sangat berbahaya pada Malaysia. Apakah YB OCBC ini mampu melakukan sesuatu yang baru?Kita nantikan dengan penuh sabar!!!

Kalau lah, En Hanafi Mamat ini dipilih, bermakna pengundi sudah tidak tahan lagi dengan keadaan politik semasa yang berlaku. Mereka menolak politik fitnah yang kotor ini dan rakyat Permatang Pauh sudah bosan dan agaknya dah “muntah hijau” melihatkan taktik-taktik kotor untuk mengejar jawatan politik yang tiada kesudahan!!!

Maka dengan itu, terpulanglah kepada pengundi masing-masing. Rakyat Permatang Pauh lebih memahami iklim politik di sana. Janganlah sesekali kita emosi sebaliknya berfikiran rasional!!! Kepada yang ingin pulang selamat jalan saya ucapkan.

Selamat mengundi!!!

Wassalam