Tuesday, December 28, 2010

Khasiat Bekam Darah



1.Pada bulan lepas, saya diajak oleh Zaki, sahabat di pejabat lama untuk melakukan rawatan berbekam di Pusat Rawatan Hanafi berdekatan pintu belakang UIA.

2.Permulaannya memang agak risau, disebabkan kali pertama ingin mencuba. Lebih-lebih lagi ia melibatkan pisau yang ditoreh sedikit ke badan untuk mengeluarkan darah kotor.

3.Namun, sangkaan meleset kerana ternyata ia tidak menyakitkan. Seperti digigit semut atau “sakit yang boleh diterima akal”.Bak kata sahabat saya Khairul Anuar.

4.Sebelum berbekam darah, saya melakukan berbekam angin dahulu. Alatan berbentuk seperti buluh diletakkan diseluruh badan bermula dari tengkuk hingga ke tapak kaki selama 15 minit.

5.Kesan berbekam ini, badan yang penat menjadi ringan dan bertambah sihat. Bekam darah ini juga adalah sebahagian daripada sunnah Rasulullah SAW dan dianjurkan oleh agama islam kita.

6.Selepas melakukan bekam angin saya terus melakukan bekam darah. Perlu diingat setiap orang mempunyai ketahanan yang berbeza. Perawat disana memberitahu ada individu yang perlu membuat berasingan yakni pada keesokannya. Ada orang yang boleh melakukannnya serentak. Ada juga yang pengsan disebabkan tidak sesuai melakukan kedua-duanya serentak.

7.Untuk kes saya, daripada pengamatan perawat tiada masalah untuk melakukannya sekaligus.

8.Selepas berbekam, saya ditunjukkan dengan kesan darah yang agak berminyak. Perawat memberitahu darah saya mempunyai kolestrol tinggi serta nampak tanda ada darah tinggi. Memang hebat daripada kesan darah terus Perawat boleh menganalisa tanpa diberitahu. Beliau menasihat saya untuk berpantang makanan seperti daging dan garam selama 3 hari.

9.Seminggu selepas berbekam, saya melakukan pemeriksaan Dr untuk mengetahui tahap tekanan darah. Syukur darah kembali ke paras normal dengan ukuran 120/80. Sebelumnya paras darah berada ditahap 130/90 atau 140/90.

10.Alhamdulillah, saya berazam selepas melakukan bekam ini saya berjanji dengan diri untuk melakukan jogging sekurang-kurangnya 1 kali seminggu. Kesan berbekam ini amat hebat apabila saya mampu berjogging tanpa henti mengelilingi tasek titiwangsa selama 15 minit. Jika sebelum ini setengah tasek sudah berhenti kepenatan. Lenguh-lenguh badan juga hilang dengan sendirinya.

11.Selain itu, saya juga mampu melakukan kerja dengan baik dan mempunyai daya tumpuan yang tinggi. Mata tidak mudah mengantuk.

12.Setiap kali bangun daripada tidur untuk mengejarkan solat subuh terasa badan sangat segar dan ringan, mata terasa cerah dan paling penting senang terjaga dipertengahan malam.

13.Berbalik kepada Perawat tadi, beliau menasihatkan kepada individu yang tidak pernah berbekam dianjurkan melakukannya selama 3 bulan berturut-turut dan selepas itu setahun sekali. Ini penting untuk membuang darah yang kotor secara konsisten. Selepas melakukan 3 bulan berturutan beliau berkata “nak makan apa pun makanlah”, tiada apa yang perlu dipantangkan lagi.

14.Inilah yang dinamakan khasiat sunnah Rasullullah.Setiap apa yang diperlakukan Baginda mempunyai khasiatnya yang tertentu. Ayuh kita lakukan sunnah ini untuk kelihatan lebih sihat. Tidak salah untuk mencuba kaedah alternatif yang ternyata memberikan kesan secara langsung.

Wassalam

Friday, November 12, 2010

Anwar Ibrahim dan Zaid Ibrahim



1.Sungguh menarik mengikuti perkembangan politik di Malaysia dewasa ini. Yang terbaru Zaid Ibrahim mengeluarkan kenyataan untuk menubuhkan sabuah parti baru sekiranya dipecat.

2.Anwar Ibrahim dan Zaid Ibrahim memiliki nama bapa yang sama. Personaliti juga sama. Mereka kedua-duanya idealistik, keras kepala, gopoh dan gapah, tidak sabar berkehendak nombor wahid.

3.Anwar Ibrahim jika sabar sedikit pasti sekarang ini sedang hempuk terlena di kerusi PM. Zaid Ibrahim pulak, pasti boleh menjadi Timbalan Presiden seterusnya mengintai tempat duduk Kak Wan.

4.Kesian sungguh kedua-duanya. Akibatnya, Anwar Ibrahim lani kehilangan arahnya. Bahkan, didesak pula untuk berundur.Zaid Ibrahim pula, saja-saja buat untuk beliau dipecat. Mungkin juga ingin dilihat sebagai “hero”.

5.Bagus juga cadangan Zulkifli Noordin “Anwar Ibrahim vs Zaid Ibrahim”. Toksah la takut Datuk Seri, jangan dok berselindung sebagai Ketua Umum keluarkan keris. Dulu suka betoi sebut “lawan tetap lawan”, lawanlah Datuk Seri. Takkan dengan Zaid Ibrahim pun tak boleh makan kot, masa Datuk Seri jadi TPM dulu sapa la sangat Zaid ni.

6.Ataupun, berdamai aja la. Kalau saya tak kenal Datuk Seri dan Zaid mungkin saya kata hang pa berdua adik beradik. Tapi saya kenai, kiranya hangpa ni“sepusat-sepusing pak lain-lain mak asing-asing”.

7.Ada lagi seorang yang iras-iras Datuk Seri, dulu penyokong kuat Datuk Seri, bekas Adun Benta kat Pahang nuu, Datuk Suhaimi Ibrahim namanya. Cara bercakap, berpidato, riak wajah sebijik Datuk Seri. Photostate.

8.Gamaknya sapa nama ada Ibrahim ni akan jadi ahli politik kot.Hehe

9.Satu lagi, kalau saya sebut nama ni mesti Datuk Seri melompat, nama dia Ibrahim Ali. Jangan mara Datuk Seri, saja melawak kita satu negeri. Datuk Seri hebat dulu di Pulau Pinang waktu dok berkawan dengan Datuk Seri Zahrain, macam isi dengan kuku, aur dengan tebing, lani tak tau la apa jadi. Dok tengok muka Datuk Zahrain dalam tv, sebut aja nama Datuk Seri terus dia senyum kambing.Hehe

10.Dah lama tak tengok Datuk Seri disidang media, rindu sungguh. Tapi jangan melenting macam Ustaz Azizan pulak kalau wartawan dok tanya. Kadang-kadang tengok gaya Datuk Seri suka angkat kening macam Ziana Zain pun ada.Hehe

11.Ok la Datuk Seri, mesti sibuk dok prepared list calon untuk PRU 13 tak mau la dok kacau.

Monday, October 25, 2010

Tragedi Oktober Yang Ngeri.



1.Kemalangan di Simpang Ampat pada tanggal 10/10/10 masih segar diseluruh ingatan rakyat Malaysia. Tragedi Oktober ini mengerikan.

2.Dikala Dr Sheikh Muszaphar sedang menempuh saat bahagia, keluarga mangsa yang cedera dan terkorban menerima berita yang sungguh pilu lagi memeritkan.

3.Setiap kali berlakunya kemalangan, sudah pasti akan ada yang terkorban. Punca utama adalah kecuaian pemandu serta sangat suka memandu dengan laju.

4.Seperti diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, punca utama adalah disebabkan kelajuan yang mencapai 120KM.

5.Melalui pengalaman, tidak dinafikan sikap pemandu bas yang memandu bas ekspress umpama “pilot” kapal terbang. Banyak kali juga kenderaan saya yang dipandu 110-120 km berada di lorong kedua dengan “selamba” dipotong oleh bas ekspress. Sudah pasti kelajuannya mencapai 130KM.

6.Mereka sungguh tegar. Walaupun pelbagai nasihat serta tindakan namun ianya dipandang sepi. Mereka lebih suka mengejar trip mungkin kerana akan beroleh pendapatan yang lumayan.

7.Penguatkuasaan juga ternyata berlubang. Hanya dilakukan secara bermusim. Ada raya ada jaga.!

8.Pengguna juga disarankan agar memilih pengangkutan awam yang lain. Air Asia umpanya serta perkhidmatan kereta api atau memilih untuk memandu sendiri.

9.Kehilangan orang tersayang sungguh pilu rasanya. Tambahan pulak yang terselamat akan mengalami trauma seumur hidup. Yang hilang upaya akan menambah kesengsaraan.

10.Saya menyarankan agar, kerajaan serius untuk mengambil tindakan. Banyak cara yang boleh dilakukan. Saya percaya kerajaan 1Malaysia ini begitu kreatif dan kritis.

11.Sudah tiba masa KPI mengurangkan kemalangan ini diletakkan di bahu menteri berkaitan. Ini penting untuk mengukur sejauh mana perancangan yang mampu dilakukannya bagi menyelamatkan permata dan modal insan Malaysia.

12.Hilang 1 rakyat Malaysia bermakna hilang 1000 keupayaan. Bagaimana kerajaan ingin mencapai tahap negara berpendapatan tinggi sekirangnya asyik kehilangan modal insan berharga?Jika ditinjau sekurang-kurang 3 orang mangsa adalah pelajar.

13.Harapan agar isu ini membeliakkan mata pihak bertanggungjawab yang terlibat.

Wassalam

Tuesday, September 7, 2010

Pantun Raya Ikut Negeri


Pulau Pinang
Nasi kandaq kedai mamak
Anak mami juai pasemboq
Lepas raya toksah teriak
Ceti cari lari ke dapoq

Perlis
Padang besaq ciput aja
Tempat siam lalu lalang
Hari raya kita belanja
Jangan sampai tambah Utang

Kelantan
Make ikke cicoh budu
Jange lupo tamboh satar?
Kelik rayo taksir laju
Nanti rayo dale sepita

Terengganu
Makang ubi jamang jepong
Makang kepok cicoh cuke
Bulang pose mung bengong
Bulang raye mung suke

Pahang
Sepadan Pahang ada kasino
Nasi dagang ikan patin
Jange mu masam muko
Raya makan rendang sadin

Johor
Cegitu cegini awak suke
Awak suke kite tak suke
Esok luse hari raye
Sama-sama bersuke rie

Melaka
Hawau kau berak merate
Kaki bengkak ulau patok
Kalu balik naik kerete
Jangan pandu kalau ngantok

N. Sembilan
Masak lomak cili api
Campo dongan ! daun turi
Hari rayo kolumpo sopi
Tinggal penyamun dongan pencuri
(org kolumpo jgn kocik ati!!)

Selangor/K.Lumpur
Wa cakap lu wa tak tau
Tapi wa tipu sama lu
Raya jangan buat tak tau
Angpau ada bagi gua dulu

Perak
Gulai tempoyak ikan mayong
Deroyan busok tebok tupai
Pandu hemat ingat kampong
Asal teman selamat sampai


Salaam Idulfitri untuk semua :)


Selamat memandu & berhati-hati.

Tuesday, August 24, 2010

Antara cadangan yang dihantar kepada Presiden GPMS berkenaan Agenda Pendidikan Melayu

1.Saya menyarankan agar peranan MARA lebih memfokuskan kepada agenda pendidikan melayu. Sekarang nampaknya tajaan dalam dan luar negara amat kurang sekali. Ada terdengar MARA mengamalkan kuota penjaman untuk pelajar di IPT. Cadangan supaya pelajar melayu yang layak dan menepati syarat pinjaman@biasiswa terus diberi tanpa kuota.

2.Isu pendidikan di luar bandar perlu diberi perhatian secara serius. Jelas jurang diantara bandar dan di luar bandar. Kerajaan perlu memberi perhatian yang lebih untuk masyarakat di luar bandar yang dilihat agak ketinggalan terutama prasarana/kepakaran guru disekolah melayu. Ianya perlu seimbang.

3.Mewajibkan penggunaan bahasa pengantar melayu untuk semua sekolah termasuk SJKC dan SJKT. Di Indonesia umpamanya, hanya 1 sistem yang wujud. Bangsa Cina bertutur dalam bahasa Indonesia, kita tidak menidakkan hak mereka, namun dengan matlamat 1 Malaysia agak sukar dicapai jika penyatuan masyarakat melalui penggunaan bahasa perlu diterapkan. Bahasa jiwa bangsa.

4.Menghapuskan caj pentadbiran PTPTN kepada bumiputra. Peminjam melayu umpamanya dilihat terbeban dengan dengan caj pentadbiran yang dikenakan. Suka saya cadangkan, agar bumiputra yang berjaya menamatkan diploma/ijazah diberikan keistimewaan sebagai bumiputra untuk menikmati pembayaran balik tanpa caj perkhidmatan.

5.Kesemua GLC umpamanya mengadakan program kursus membantu mahasiswa melayu yang menganggur. Untuk yang berjaya melepasi kursus tersebut, mereka boleh diserap sebagai pekerja di sesebuah GLC tersebut. Dengan itu, GLC dapat melakukan tanggungjawab sosiak koporat (CSR) untuk membantu agenda pendidikan melayu. GLC boleh mengadakan kerjasama /program usahasama dengan kolej milikan bumiputra atau Universiti.

Sekian.

Sunday, July 4, 2010

Cabaran baru sekeluarga bermula.


1.Cabaran baru buat saya sekeluarga bermula pada minggu ini.

2.Saya membuat keputusan untuk mengambil 3 subjek pada semester ini. Perancangan untuk menghabiskan pengajian awal 1 semester. Banyak perancangan yang telah dan sedang dirangka.

3.Ini bermakna, saya hanya akan pulang 2 minggu sekali ka Melaka oleh kerana kelas mengambil masa penuh iaitu sabtu dan ahad.

4.Untuk isteri, beliau perlu untuk hadir ke kelas PhD hampir setiap minggu mengambil masa 1 tahun. Bermaksud beliau perlu memandu sendiri ke Skudai dengan membawa bersama Dhiya Hiswaniza.

5.Saya juga sudah berpesan kepada Dhiya Hiswaniza agar tabah menghadapi kehidupan “struggle” kedua-dua ibu dan ayahnya. Tanpa berkelip dengan sinar cahaya bersinar dikelopak matanya diiringi senyuman tanda memahami pesanan saya.

6.Apa yang ayah dan ibu buat ini adalah untuk masa depan kamu. Harap kamu juga tabah dan kuat melalui semua ini walaupun bukan usia kamu untuk melaluinya.

7.Saya bersetuju untuk isteri berulang-alik ke kelas demi kerjayanya. Namun, tiada pilihan lain sekiranya saya membantah. Saya perlu bersetuju.

8.Isteri pun begitu, tiada ruang untuk beliau membantah dan juga terpaksa bersetuju. Penting untuk saya meghabiskan master secepat mungkin.

9.Jauh disudut hati, kerisauan teramat apabila isteri memandu sendirian ke Skudai sepanjang 240 KM. Saya hanya mempu berdoa agar Allah mempelihara keselamatan isteri dan anak.

10.Semoga Allah memberikan jawapan diakhirnya dan kami memperolehi penamat yang baik. Sebagai orang Islam kita wajib mempercayai Qadha dan Qadar yang Allah tetapkan jauh daripada kotak pemikiran manusia. Perancangan Allah tidak siapa tahu dan Perancangan Allah sangat dan maha hebat.

11.Saya percaya akan hikmah Allah untuk kami lalui semua ini. Saya akan terus berdoa agar Allah menunjukkan jalan dan sesuatu serta memelihara kami sekeluarga daripada segala kesusahan dan bencana.

12.Adalah sesuatu yang tersentuh, apabila saya di Melaka setiap kali selesai bersolat Dhiya Hiswaniza akan menghampiri saya. Lantas, saya mengambil Dhiya untuk duduk bersama.

13.Sesuatu yang tidak diduga Dhiya Hiswaniza juga menadah tangan berdoa agar kami sekluarga dapat tinggal bersama. Anak kecil saya itu mengaminkan doa yang dibaca. Mudah-mudahan ada sinar diakhirnya.

Amin

Monday, June 28, 2010

Ulama muda memilih UMNO!


1.Kemasukkan Ulama muda ke dalam parti politik UMNO merupakan 1 perkembangan politik yang amat menarik.

2.UMNO yang dilabel sebagai sebuah parti sekular atas dasar perjuangan bangsa tidak dilihat sebagai sebuah parti yang berjuang untuk agama.

3.Ramai pemerhati melihat ini adalah 1 perkembangan terbaru yang memungkinkan untuk terjadinya pilihan raya awal.

4.Disebalik kemasukkan Ulama muda ini, PM terus mengumumkan disidang medianya bahawa kerajaan memutuskan untuk membatalkan lesen judi.

5.Walaupun masyarakat islam melayu telah berpecah kepada parti selain daripada UMNO yakni PAS dan juga PKR. Statistiknya mewakili 20% untuk setiap parti.

6.Saya melihat ini sebagai satu perkembangan positif. Lebih-lebih lagi, sekiranya UMNO dan PAS walau tidak secara total namun masih ada ruang untuk diperbaiki dan dirapatkan.

7.Jurang ini tidak harus terus jauh dan jauh, sesuatu perlu dilakukan jika dilihat dalam konteks penyatuan ummah.

8.Sungguh rindu untuk melihat dasar partisan diketepikan untuk melihat penyatuan. Masih segart di memori saya, Tun Dr Mahathir dan Allahyarham Ustaz Fadzil Noor berucap di platform yang sama membicarakan isu Palestin. Kiranya, kedua-dua pimpinan besar UMNO dan PAS berupaya duduk semeja membicarakan soal islam-melayu alangkah bahagianya kita rakyat Malaysia. Namun, itu sangat dinanti-nantikan.

9.Mungkin itu tidak akan berlaku dalam 1 atau 2 tahun ini. Biarpun perubahan itu tidak 10%, tidak 0.1%, jika hanya 0.0001% ia tetap perubahan walau mengambil masa 10 tahun.

10.PAS dilihat sebgai sebuah parti yang kuat dan begitu konsisten. Rata-rata, pengundi atas pagar lebih selesa untuk memilih PAS akan tetapi penggabungan di bawah Pakatan di ketuai oleh Datuk Seri Anwar menggusarkan mereka.

11.Anggota veteran PAS mengakui, PAS akan terus mengukuh dalam jangka masa yang panjang tetapi tidak mempu bertahan dengan imej yang baik selagi berada di paksi Pakatan.

12.UMNO tentu boleh berbangga dengan perkembangan ini. Tak siapa tahu, disuatu masa Professional muda bakal menyertai PAS bagi memperkukuhkan parti itu.

13.Jika ini berterusan, tiada apa yang UMNO boleh banggakan. Ini menunjukkan UMNO dan PAS ingin bersaing menjadi Parti Politik siapa yang lebih hebat.

14.UMNO dan PAS perlu membuang ego masing-masing. Perasaan saling mencurigai antara 1sama lain perlu diketepikan. UMNO perlu memberi ruang begitu juga PAS.

15.Saya ada berdiskusi dengan seorang daripada kumpulan Ulama muda ini. Beliau berkata, UMNO menyediakan platform yang baik kepada mereka ini untuk berdakwah serta peluang ini harus digunakan. Untuk ketika ini, saya positif dengan kenyataan itu. Harapan agar peluang ini digunakan sebaiknya dan tidak dipersiakan.

16.Didoakan agar ulama muda ini terus berjaya dengan izin Allah. Jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Cakap-cakap nakal yang dilemparkan harus dibalas dengan tindakan yang dilihat sempurna!

17.Niat mereka untuk merubah UMNO jangan UMNO merubah mereka.

Wassalam