Thursday, January 21, 2010

Maklum Balas PTPTN


Saya mengucapkan jutaan terima kasih dengan tindakan serta-merta daripada :-

1. Senator Dato' T Murugiah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta kakitangan Pejabat Timbalan Menteri
2. Dato' Dr Tam Weng Wah, Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam
3. En Yunos bin Abd Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN
3. En Aziz bin Ismail, Pengarah Bahagian Pengurusan Aduan & Program Bersama Pelanggan
4. En Mohd Asri b Mohamed, Ketua Penolong Pengarah (Aduan) 4
5. En Azleen, Pegawai Khas Menteri Pengajian Tinggi

Berikut saya paparkan jawapan daripada Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN:-

YB. Dato’/Tuan/Puan,

Salam Sejahtera,
Terlebih dahulu PTPTN mengucapkan terima kasih di atas pandangan yang diberikan berkaitan PTPTN.

Berdasarkan kepada penjelasan/pandangan yang diberikan oleh pengadu, disertakan jawapan bagi isu-isu yang dibangkitkan untuk makluman bersama. Penangguhan bayaran balik bagi program Diploma, Ijazah kerana menyambung pengajian separuh masa Sarjana

Keputusan peminjam untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana adalah usaha yang baik. Walau bagaimana pun PTPTN tidak membenarkan penangguhan bayaran balik kepada peminjam yang sudah mempunyai pendapatan dan berkemampuan untuk berbuat demikian. Tahap kemampuan yang dimaksudkan disini tidak mengambil kira tanggungan-tanggungan seperti petrol, tol, penyelengaraan kenderaan dan bebanan hidup dikota kerana bayaran balik pinjaman PTPTN sepatutnya sudah diambil kira oleh pengadu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai urusan-urusan kehidupan yang lain. Pengurangan bayaran balik daripada RM450 kepada RM100 (Pengurangan melebihi 75%) tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya kerana ianya melibatkan aliran tunai PTPTN dan implikasinya adalah begitu ketara sekiranya melibatkan peminjam yang ramai. Masalah ini telah pun beberapa kali dipaparkan didada akhbar.

PTPTN sentiasa meletakkan polisi yang selari dengan kehendak dan inspirasi kerajaan kerana penubuhan PTPTN ini adalah untuk rakyat. Rakyat yang dimaksudkan disini ialah rakyat semasa dan juga rakyat YANG AKAN DATANG. Dari itu kegagalan peminjam semasa mematuhi tanggung jawabnya pada ketika ini akan memberikan kesan pada generasi akan datang. Dari itu, sudah sampai masa peminjam pula menjalankan tanggungjawab socialnya mengembalikan setiap ringgit yang dipinjam kerana rakyat yang lain juga memerlukannya.

Didalam keghairahan kita memperbaiki taraf hidup, kita perlu memastikan bahawa tindakan kita itu tidak menyekat orang lain menikmati kemudahan yang sama dimasa akan datang yang masih belum mempunyai ijazah mahu pun diploma.

Terima kasih.

Ketua Eksekutif
PTPTN
21 Januari 2010


Komen daripada saya:

1.Jawapan daripada pihak CEO PTPTN berkenaan tahap kemampuan yang tidak mengambil kira perbelanjaan harian ini disifatkan tidak mengambil kira kepentingan rakyat. Apakah rakyat perlu berbasikal atau berlari atau berjalan kaki ke tempat kerja demi untuk memastikan pembayaran pinjaman PTPTN mengikut jadual asalnya. Saya sudah pasti beralih menggunakan kemudahan awam seperti bas dan LRT sekiranya ianya efisiyen namun tidak memudahkan saya. Yang ada pun 7 KM jauhnya. Tidak termasuk perbelanjaan parking setiap hari di stesen LRT. Ianya lebih membebankan.

2.Apakah pelajar sewaktu menandatangani perjanjian PTPTN termasuk melihat jumlah pembayaran selepas tamat mampu untuk mencongak masa depannya 5 atau 10 tahun akan datang. Persoalan:-

3.Apakah mereka boleh melihat masa depan?Apakah mereka boleh meramalkan keadaan ekonomi semasa Malaysia dan dunia?Apakah mereka cukup matang dalam membuat penilaian serta pemahaman 100% ketika perjanjian ditandatangani?. Sepanjang ingatan saya, tidak ada pegawai PTPTN yang menerangkan akan implikasi ini sewaktu sesi penerangan. Sebaliknya, hanya datang menerangkan cara mengisi borang serta tarikh kemasukkan duit. Dan tidak ada menerangkan dengan teliti berkenaan caj perkhidmatan 3%

4.Sebab itu, sewaktu membuat keputusan untuk menyambung pengajian sarjana, saya tidak langsung memikirkan untuk mengambil wang pinjaman PTPTN. Kita sudah boleh membuat timbang tara yang matang akan kesan dan implikasinya.

5.Oleh kerana, kita sebagai orang islam yang bertanggungjawab saya tidak lari daripada tanggugjawab untuk membuat pembayaran. Saya boleh untuk tidak bayar serta tidak memaklumkan penukaran alamat sebaliknya sebagai sentiasa ingat. Hatta, ketika tidur sambil tangan di dahi mencari jalan dan kaedah untuk melangsaikan hutang ini.

6.Saya tidak begitu ghairah memperbaiki taraf hidup. Sebaliknya, menyahut saranan pihak kerajaan dalam meningkatkan nilai tambah diri serta peningkatan modal insan. Terbukti saya tidak menyekat peluang orang lain dengan membuat pembayaran setiap bulan tanpa gagal.


7. Saya berpendapat kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Mohd Najib sedang meresapi ke arah jiwa dan hati rakyat. Harapan kepada beliau amat tinggi. Harap nasib peminjam PTPTN mendapat pembelaan sebaiknya.


Wassalam

Monday, January 18, 2010

Isu PTPTN dan Mahasiswa


Saya adalah antara ribuan peminjam PTPTN dan terpanggil untuk menyatakan pendapat berkenaan isu PTPTN dan Mahasiswa ini. Sekalung penghargaan untuk pihak kerajaan kerana menyediakan “bank” untuk rakyatnya demi mendapatkan segulung diploma mahu pun ijazah. Ini sesuatu yang perlu diakui.

Untuk makluman, pada 15 Oktober 2009 saya menerima surat daripada PTPTN dan menyatakan saya telah menangguhkan pembayaran PTPTN. Saya kecewa menerima surat ini disebabkan hampir setiap bulan saya membayar tanpa gagal walaupun dengan jumlah yang sedikit iaitu RM 100.

Saya telah menulis surat kepada pihak PTPTN bertarikh 26 Oktober 2009 untuk memohon pertimbangan pengurangan bayaran akan tetapi pihak PTPTN tidak dapat mempertimbangkannya. Hal ini berikutan alasan yang saya kemukakan tidak menepati prosedur yang ditetapkan. Untuk maklumat, saya sekarang sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Di dalam surat jawapan, permohonan tidak diluluskan oleh kerana saya adalah pelajar separuh masa atau program luar kampus. Adakah ini realistik? Mana mungkin, saya perlu berhenti kerja semata-mata untuk menyambung pengajian untuk menepati syarat PTPTN. Saya sendiri menggunakan pengeluaran akaun 2 KWSP untuk membiayai yuran namun tidak juga mencukupi sebaliknya perlu ditambah sendiri.

Sepatutnya, menyambung pengajian tidak perlu diletakkan sebagai syarat memandangkan tidak ramai yang ingin menyambung pengajian semasa bekerja. Tambahan pula untuk golongan yang telah berumah tangga. Saya tidak memohon untuk menangguhkan pembayaran sebaliknya hanya pengurangan.

Untuk golongan ini, sudah pasti niat mereka suci murni iaitu bagi memperbaiki taraf hidup keluarga, serta menyumbang ke arah pembangunan negara. Serta yang paling utama, mudah-mudahan dengan beroleh sarjana, mampu untuk menambahkan lagi jumlah bayaran ansuran kepada PTPTN.

Tidak ada perbezaan untuk sepenuh atau separuh masa. Kesemuanya melalui proses dan penilaian yang sama. Jadi adakah syarat ini relevan dan menepati kehendak masyarakat. Pihak PTPTN sendiri sebelum meletakkan sesuatu polisi ianya mestilah selari dengan kehendak dan aspirasi rakyat, oleh kerana penubuhan PTPTN ini juga adalah untuk rakyat.

Saya akui, pembayaran setiap bulan adalah yang minimum. Lebih-lebih lagi hidup di Kota Metropolitan ianya adalah sesuatu yang membebankan. Tambahan terpaksa berulang alik ke Melaka hampir setiap minggu menjenguk keluarga oleh kerana isteri bertugas di bumi Hang Tuah. Sudah pasti duit banyak digunakan untuk petrol dan tol, itu belum penyelengaraan kereta. PTPTN sendiri pada satu ketika, mengumumkan untuk menerima pembayaran seminimum mungkin walaupun RM 50 namun tidak seperti yang dijangkakan.

Mengikut matematik, jumlah keseluruhan pinjaman saya adalah sebanyak RM 63000 yakni diploma sebanyak RM 15000 dan ijazah pertama RM 48000. Dan mengikut jadual PTPTN termasuk caj perkhidmatan saya perlu membayar RM 450 sebulan. Oleh kerana pembayaran yang tidak mengikut jadual termasuk caj perkhidmatan keseluruhan jumlah telah menjangkau jumlah RM 5000. Dengan gaji yang tidak seberapa saya tidak mampu untuk membayar jumlah terkumpul serta ansuran yang bakal mencecah RM 500 sebulan. Setiap bulan, caj perkhidmatan akan terus meningkat disebabkan PTPTN mengamalkan sistem dua akaun. Sebagai contoh, saya membayar ansuran untuk peringkat diploma tetapi untuk ijazah caj perkhidmatannya akan terus naik tanpa belas ihsan.

Setelah, menerima surat balasan saya menghubungi pegawai PTPTN untuk cuba berdiskusi. Alangkah “moleknya” apabila mendengar jawapan “Encik ..CEO kami telah membuat keputusan, jadi encik mesti bayar seberapa segera yang boleh jika tidak bakal berdepan tindakan undang-undang”.

Dengan kenyataan dan syarat-syarat tertentu akan menyulitkan rakyat. Mungkin, ada yang bertindak beralih untuk memohon pinjaman ah long atas syarat yang fleksibel dan mudah dalam meluluskan pinjaman. Jika, ini berlaku adalah sia-sia akan tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam memerangi ah long habis-habisan.Akhirnya rakyat menjadi mangsa.

Semasa di Universiti dahulu, pernah seorang Pensyarah menyatakan, Negara akan bergerak mundur ke belakang apabila kerajaan memperkenalkan PTPTN. Beliau berhujah, ini kerana pelajar sudah mula berhutang sebelum bekerja. Serta gaji yang belum mampu untuk membayar ansuran mengikut jadual. Tambahan, belum ada pekerjaan terjamin selepas bergelar graduan dan PTPTN sendiri beroperasi seperti “Bank” dengan mengenakan caj perkhidmatan. Ternyata ianya benar.

Saya tidak menolak, kerajaan dan PTPTN telah membantu saya. Pasti saya tidak mampu menulis surat atau email ini tanpa pendidikan dan pengetahuan yang saya perolehi hasil daripada wang PTPTN. Soal kemanusiaan yang saya bicarakan rata-rata masyarakat kini yang dihimpit kekangan hidup serta berhadapan bebanan yang semakin tinggi.

Seperkara lagi, isu PTPTN ini membuatkan mahasiswa beralih arah menyokong pembangkang. Saya menyatakan demikian kerana mahasiswa berasa kecewa dengan polisi PTPTN. Sepatutnya, kerajaan sendiri prihatin dalam membantu rakyatnya.

Saya gembira apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan penukaran status pinjaman kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah pertama kelas pertama. Ingin dicadangkan supaya polisi ini diperluaskan kepada semua yang memiliki kelas pertama. Selain itu, sesiapa yang memperolehi kelas kedua tinggi atau rendah juga perlu dipertimbangkan untuk diberikan potongan sebanyak 50%. Bagi kelas ketiga, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk tidak mengenakan apa-apa faedah sebaliknya hanya jumlah keseluruhan pinjaman. Ini kehendak rakyat.

Pasaran kerja semasa juga tidak banyak membantu graduan mendapat pekerjaan dengan cepat setelah tamat. Jika dilihat, sektor swasta umpamanya meletakkan pelbagai syarat sebelum pengambilan serta pekerjaan dengan sektor ini memerlukan pengalaman. Jadi, adakah mereka ini berpeluang untuk bekerja?Jika tidak bagaimana dengan pinjaman mereka. Jika ya, apakah dengan gaji yang diterima mampu untuk membayar ansuran lebih-lagi hidup di Bandar besar seperti Kuala Lumpur. Peluang kerja di sektor kerajaan juga terhad serta pengisian jawatan baru hanya bertaraf kontrak. Universiti dan kolej menghasilkan puluhan ribu produk yang bergelar graduan ini namun agak sedih sekali kerana kurangnya penempatan pekerjaan untuk mereka ini.

Keprihatinan kepimpinan YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak sangat diperlukan bagi membantu menyelesaikan perkara ini. Janganlah disebabkan perkara seperti ini akan membuatkan rakyat beralih arah tidak menyokong kerajaan. Saya masih lagi beranggapan dan percaya kepimpinan YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dalam mengubah nasib rakyat. Dengan slogan “Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan” saya mengharapkan ianya selari dengan kehidupan masyarakat bukan hanya slogan sahaja yang terkenal dibibir namun saya mengharapkan tindakan yang efektif bagi membantu rakyat.

Wassalam

Sunday, January 10, 2010

Sebulan sudah


1. Syukur Alhamdulillah semalam genap sebulan puteri kami.

2. Sebentar tadi, isteri dalam perjalanan ke klinik untuk membuat pemeriksaan rutin.

3. Hujung minggu ini saya akan pulang ke Johor untuk mengambil isteri dan Dhiya untuk tinggal di Kuala Lumpur.

4. Mengikut kata isteri, Dhiya semakin membesar dan daya 'kynestetic' nya cepat.

5. Harapan agar Dhiya membesar dalam keadaan yang baik dan normal.

6. Kepada rakan-rakan yang baru menimang cahaya mata tahniah diucapkan. Yang belum, sila segerakan! hehe..

7. Hari rabu ini jam 8.00 pm - 12.00 am, saya akan melalui peperiksaan akhir semester. Mohon Allah mudahkan segalanya.

Wassalam