Monday, January 18, 2010

Isu PTPTN dan Mahasiswa


Saya adalah antara ribuan peminjam PTPTN dan terpanggil untuk menyatakan pendapat berkenaan isu PTPTN dan Mahasiswa ini. Sekalung penghargaan untuk pihak kerajaan kerana menyediakan “bank” untuk rakyatnya demi mendapatkan segulung diploma mahu pun ijazah. Ini sesuatu yang perlu diakui.

Untuk makluman, pada 15 Oktober 2009 saya menerima surat daripada PTPTN dan menyatakan saya telah menangguhkan pembayaran PTPTN. Saya kecewa menerima surat ini disebabkan hampir setiap bulan saya membayar tanpa gagal walaupun dengan jumlah yang sedikit iaitu RM 100.

Saya telah menulis surat kepada pihak PTPTN bertarikh 26 Oktober 2009 untuk memohon pertimbangan pengurangan bayaran akan tetapi pihak PTPTN tidak dapat mempertimbangkannya. Hal ini berikutan alasan yang saya kemukakan tidak menepati prosedur yang ditetapkan. Untuk maklumat, saya sekarang sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Di dalam surat jawapan, permohonan tidak diluluskan oleh kerana saya adalah pelajar separuh masa atau program luar kampus. Adakah ini realistik? Mana mungkin, saya perlu berhenti kerja semata-mata untuk menyambung pengajian untuk menepati syarat PTPTN. Saya sendiri menggunakan pengeluaran akaun 2 KWSP untuk membiayai yuran namun tidak juga mencukupi sebaliknya perlu ditambah sendiri.

Sepatutnya, menyambung pengajian tidak perlu diletakkan sebagai syarat memandangkan tidak ramai yang ingin menyambung pengajian semasa bekerja. Tambahan pula untuk golongan yang telah berumah tangga. Saya tidak memohon untuk menangguhkan pembayaran sebaliknya hanya pengurangan.

Untuk golongan ini, sudah pasti niat mereka suci murni iaitu bagi memperbaiki taraf hidup keluarga, serta menyumbang ke arah pembangunan negara. Serta yang paling utama, mudah-mudahan dengan beroleh sarjana, mampu untuk menambahkan lagi jumlah bayaran ansuran kepada PTPTN.

Tidak ada perbezaan untuk sepenuh atau separuh masa. Kesemuanya melalui proses dan penilaian yang sama. Jadi adakah syarat ini relevan dan menepati kehendak masyarakat. Pihak PTPTN sendiri sebelum meletakkan sesuatu polisi ianya mestilah selari dengan kehendak dan aspirasi rakyat, oleh kerana penubuhan PTPTN ini juga adalah untuk rakyat.

Saya akui, pembayaran setiap bulan adalah yang minimum. Lebih-lebih lagi hidup di Kota Metropolitan ianya adalah sesuatu yang membebankan. Tambahan terpaksa berulang alik ke Melaka hampir setiap minggu menjenguk keluarga oleh kerana isteri bertugas di bumi Hang Tuah. Sudah pasti duit banyak digunakan untuk petrol dan tol, itu belum penyelengaraan kereta. PTPTN sendiri pada satu ketika, mengumumkan untuk menerima pembayaran seminimum mungkin walaupun RM 50 namun tidak seperti yang dijangkakan.

Mengikut matematik, jumlah keseluruhan pinjaman saya adalah sebanyak RM 63000 yakni diploma sebanyak RM 15000 dan ijazah pertama RM 48000. Dan mengikut jadual PTPTN termasuk caj perkhidmatan saya perlu membayar RM 450 sebulan. Oleh kerana pembayaran yang tidak mengikut jadual termasuk caj perkhidmatan keseluruhan jumlah telah menjangkau jumlah RM 5000. Dengan gaji yang tidak seberapa saya tidak mampu untuk membayar jumlah terkumpul serta ansuran yang bakal mencecah RM 500 sebulan. Setiap bulan, caj perkhidmatan akan terus meningkat disebabkan PTPTN mengamalkan sistem dua akaun. Sebagai contoh, saya membayar ansuran untuk peringkat diploma tetapi untuk ijazah caj perkhidmatannya akan terus naik tanpa belas ihsan.

Setelah, menerima surat balasan saya menghubungi pegawai PTPTN untuk cuba berdiskusi. Alangkah “moleknya” apabila mendengar jawapan “Encik ..CEO kami telah membuat keputusan, jadi encik mesti bayar seberapa segera yang boleh jika tidak bakal berdepan tindakan undang-undang”.

Dengan kenyataan dan syarat-syarat tertentu akan menyulitkan rakyat. Mungkin, ada yang bertindak beralih untuk memohon pinjaman ah long atas syarat yang fleksibel dan mudah dalam meluluskan pinjaman. Jika, ini berlaku adalah sia-sia akan tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam memerangi ah long habis-habisan.Akhirnya rakyat menjadi mangsa.

Semasa di Universiti dahulu, pernah seorang Pensyarah menyatakan, Negara akan bergerak mundur ke belakang apabila kerajaan memperkenalkan PTPTN. Beliau berhujah, ini kerana pelajar sudah mula berhutang sebelum bekerja. Serta gaji yang belum mampu untuk membayar ansuran mengikut jadual. Tambahan, belum ada pekerjaan terjamin selepas bergelar graduan dan PTPTN sendiri beroperasi seperti “Bank” dengan mengenakan caj perkhidmatan. Ternyata ianya benar.

Saya tidak menolak, kerajaan dan PTPTN telah membantu saya. Pasti saya tidak mampu menulis surat atau email ini tanpa pendidikan dan pengetahuan yang saya perolehi hasil daripada wang PTPTN. Soal kemanusiaan yang saya bicarakan rata-rata masyarakat kini yang dihimpit kekangan hidup serta berhadapan bebanan yang semakin tinggi.

Seperkara lagi, isu PTPTN ini membuatkan mahasiswa beralih arah menyokong pembangkang. Saya menyatakan demikian kerana mahasiswa berasa kecewa dengan polisi PTPTN. Sepatutnya, kerajaan sendiri prihatin dalam membantu rakyatnya.

Saya gembira apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan penukaran status pinjaman kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah pertama kelas pertama. Ingin dicadangkan supaya polisi ini diperluaskan kepada semua yang memiliki kelas pertama. Selain itu, sesiapa yang memperolehi kelas kedua tinggi atau rendah juga perlu dipertimbangkan untuk diberikan potongan sebanyak 50%. Bagi kelas ketiga, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk tidak mengenakan apa-apa faedah sebaliknya hanya jumlah keseluruhan pinjaman. Ini kehendak rakyat.

Pasaran kerja semasa juga tidak banyak membantu graduan mendapat pekerjaan dengan cepat setelah tamat. Jika dilihat, sektor swasta umpamanya meletakkan pelbagai syarat sebelum pengambilan serta pekerjaan dengan sektor ini memerlukan pengalaman. Jadi, adakah mereka ini berpeluang untuk bekerja?Jika tidak bagaimana dengan pinjaman mereka. Jika ya, apakah dengan gaji yang diterima mampu untuk membayar ansuran lebih-lagi hidup di Bandar besar seperti Kuala Lumpur. Peluang kerja di sektor kerajaan juga terhad serta pengisian jawatan baru hanya bertaraf kontrak. Universiti dan kolej menghasilkan puluhan ribu produk yang bergelar graduan ini namun agak sedih sekali kerana kurangnya penempatan pekerjaan untuk mereka ini.

Keprihatinan kepimpinan YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak sangat diperlukan bagi membantu menyelesaikan perkara ini. Janganlah disebabkan perkara seperti ini akan membuatkan rakyat beralih arah tidak menyokong kerajaan. Saya masih lagi beranggapan dan percaya kepimpinan YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dalam mengubah nasib rakyat. Dengan slogan “Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan” saya mengharapkan ianya selari dengan kehidupan masyarakat bukan hanya slogan sahaja yang terkenal dibibir namun saya mengharapkan tindakan yang efektif bagi membantu rakyat.

Wassalam

6 comments:

Noor Ashraaf said...

Kalo projek million2 boleh kasi untuk F1,

ape salahnye sesekali million2 bagi pada rakyat untuk sambung study?

Anonymous said...

masih ingat lagi time gua blajar dulu dorang dok gelar ptptn ni jadi ptptipu...

JALAN REBUNG said...

salam tuan,
mantap. nanti nak mintak bantuan tuan untuk mintak jalan kat rumah saya la pulak ...hehehe

daisyzarinah said...

saya nk byr melalui potongan kwsp akaun 2..sampi hari ni ptptn belum hantar salinan perjanjian pinjaman..camne ni??masa saudara buat potongan kwsp..brp lama ambil masa untuk selesai??

Anonymous said...

Daisyzarinah,

Saya tidak menggunakan potongan KWSP.Sila follow up closely atau email pegawai berkaitan.

Mr Campro

Unknown said...

assalamualaikum..
sekadar untuk bertanya.apa prosedur n dokumen yg perlu kalau kita nak mohon keluarkan akaun 2 kwsp untuk sambung pengajian prngkat sarjana? saya try buka laman web kwsp tapi xdpat so xdpat nak call diorang. so mntak tlg mr campro bantu saya. tq

please reply kat emel sy
sweetpink_panda@yahoo.com

tq ;)