Thursday, December 4, 2008

Tanggal 4 Disember 2002...

Tarikh ini adalah satu tarikh yang amat sedih bagi saya sekeluarga. Tambahan lagi, pada tahun hijrah tarikh ini bersamaan 29 ramadhan yakni sehari sebelum kita menyambut hari raya aidilfitri.

Allayarhamah Hiswaniza Bt Anuar atau panggilan manjanya Ija iaitu adik ketiga saya telah genap 6 tahun pada hari ini (4 disember 2008) kembalinya beliau ke-rahmatullah. Satu perkara yang tidak pernah saya dan seluruh ahli keluarga jangkakan yang kami akan kehilangan salah seorang ahli keluarga. Sedikit sebanyak latar belakang Allahyarhamah..beliau dilahirkan pada tanggal 18/8/1988. Allahyarhamah telah disahkan menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan.
Sejak kelahiran Allahyarhamah ini memiliki kulit yang sangat putih dan berambut perang, sehingga digelar anak bosnia. Namun disebabkan penyakit yang dihadapi mukanya seakan-akan biru, muka sentiasa pucat termasuk kuku kakinya yang sentiasa kelihatan biru. Seingat saya, kedua-dua abah dan emak saya sangat sibuk menguruskan allahyarhamah untuk ulang-alik dari Pulau Pinang ke Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan rutin memandangkan tiada pakar jantung di Pulau Pinang pada waktu itu.

Hari berganti hari, masa menanti masa,tahun silih berganti sehingga mencapai umur 6 tahun beliau terpaksa menjalani pembedahan jantung di Hospital Pantai Bangsar, Kuala Lumpur. Selepas pembedahan allahyarhamah kelihatan lebih sihat dan ceria serta mampu untuk berlari dan mempunyai selera makan yang agak baik.
Allahyarhamah juga adalah seorang yang amat pintar dan sentiasa mendapat nombor pertama di dalam kelas. Namun, dalam mengulangkaji Allahyarhamah ini tidak lah serajin kawan-kawan yang seusianya. Mungkin adalah anugerah daripada Allah lebih untuk satu perkara dan kurang untuk perkara lain. Sehinggalah beliau melangkah ke peringkat menengah pada awal tahun 2002 keadaan kesihatan allahyarhamah mula menunjukkan penurunan yang ketara.

Boleh dikatakan setiap minggu Allahyarhamah akan menghidapi demam dan sentiasa tidak upaya untuk ke sekolah. Sehinggakan pelajarannya semakin merosot. Mukannya yang kelihatan ceria dan sihat bertukar menjadi muram dan sedih. Allahyarhamah selalu mengadu sakit di dada dan tidak mampu bergerak, minyak cap kapak sentiasa di bawanya untuk disapu dibahagian dada bagi mengurangkan kesakitan.
Sehinggalah Allahyarhamah di masukkan ke hospital 2 minggu sebelum hari raya aidilfitri. Sewaktu itu saya berada di tahun ke 2 di Kolej Islam Antarabangsa. Ibu menelefon saya dan mengkhabarkan keadaan Allahyarhamah yang semakin buruk maka tanpa memikir panjang saya mencari tiket dan terus pulang.

Allahyarhamah di masukkan ke cardiology care unit (CCU), untuk tempoh 2 minggu. Dalam tempoh itu, pelbagai kenangan akhir yang ditinggalkan. Pernah untuk satu ketika Allahyarhamah meracau-racau dan tidak mahu tinggal di hospital, Allahyarhamah sangat meminati cerita “Betty La Fea” dan sanggup meminta kakak saya menceritakan episod yang terlepas untuk ditonton walau tidak berdaya. Segar dalam ingatan, hari terakhir saya berbual dengan Allahyarhamah “Ija nak balik rumah tak?..Ija menjawab “nak la rindu kat betty..tapi kaki ija sakit laa”...sewaktu itu tangannya menggosok-gosok kaki sambil kakak saya menukarkan bajunya. Ibu saya tidak dapat datang untuk melihat Allahyarhamah kerana demam yang kuat. Selepas itu, saya dan kakak pun beredar untuk pergi membeli juadah untuk berbuka. Sebelum pulang, Allahyarhamah mengenggam saya dengan kuat dan menyuruh saya balik namun kaki berat untuk meninggalkan Allahyarhamah. Selepas itu Allahyarhamah berkata"abang pi balik la Ija dah sihat” ungkapan itu membuatkan saya lega dan terus pulang. Di malam harinya selepas berterawikh saya memohon kepada Allah dan memohon supaya dipermudahkan segala yang berkaitan dengan Allahyarhamah.

Lebih kurang jam 8.30 pagi, ibu menerima telefon mengatakan Allahyarhamah amat tenat. kami bergegas ke hospital setibanya disana sekumpulan doktor mengelilingi katil Allahayarhamah saya dapat melihat keadaan pernafasan yang tidak stabil dan Allahyarhamah sudah tidak sedarkan diri. Kami semua terkelu dan hanya mampu berdoa. Doktor mendekati abah dan menasihati beliau untuk membuat solat hajat. Doktor memberitahu yang jantungnya sudah lemah, paru-paru dan ginjal sudah tidak berfungsi sepenuhnya dan hanya bergantung hidup dengan"support life machine" Hari itu perasaan saya tidak stabil memandangkan Allahyarhamah amat rapat.Kami sentiasa melakukan kerja bersama, makan bersama,dimarahi bersama, tidor bersama dan setiap petang saya akan membawa Allahyarhamah keliling kampung menaiki moto abah. Segala kenangan dengan Allahyarhamah bermain dikepala.

Semua ahli keluarga tiba. Memohon kepada Allah sehinggalah tepat jam 10.20 malam Allahyarhamah telah menghembuskan nafas terakhir disisi kami sekeluarga. Allahyarhamah berumur 14 tahun ketika itu. Hari ini genaplah 6 tahun Allahyarhamah meninggalkan kami sekeluarga.Di kala ini, 6 tahun yang lepas kita semua akan menyambut hari raya aidilfitri, 6 tahun selepas itu iaitu hari ini kita akan menyambut hari raya aidiladha. Namun, walau tiada Allahyarhamah di sini gelak-tawanya sentiasa terngiang-ngiang di telinga saya.Hingga ke saat ini perkataan tertera di surat kematian Allahyarhamah sentiasa saya ingati "sepsis with divc underlying tetralogy of fallot". Saya amat merindui Allahyarhamah dan saya memohon kepada Allah yang maha esa supaya menempatkan Allahyarhamah di kalangan orang-orang beriman..Amin ya rabbal alamin.

No comments: