Sunday, August 9, 2009

Kebimbangan Wabak H1N1.



1.Adalah sesuatu yang amat membimbangkan berikutan peningkatan yang kian meningkat jumlah korban virus H1N1 ini. Sehingga setakat 9 Ogos 2009, jam 8.00 pagi jumlah kes di Malaysia adalah sebanyak 1780 kes dengan kematian sejumlah 26 orang. Setiap hari kita bukan sahaja membilang jumlah yang dijangkiti tetapi menghitung dengan sedih akan jumlah yang terkorban.

2.Tinjauan di Hospital-hospital kerajaan ianya tidak ubah seperti “menunggu giliran membeli tiket wayang” dek kerana dipenuhi dengan lautan manusia untuk menjalani pemeriksaan saringan dan menerima rawatan.

3.Bagi saya, ianya disifatkan keadaan yang amat genting dan berbahaya. Semua golongan, mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti tidak kira tua, muda, sakit mahupun sihat.

4.Rakyat masih tertunggu-tungu akan tindakan drastik Kerajaan untuk dilihat lebih serius dalam menangani wabak maut ini. Saya amat mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri yang ternyata bimbang dan gusar dan akan berjumpa dengan Menteri Kesihatan dalam waktu terdekat untuk mengetahui dengan lebih terperinci.

5.Saya dan keluarga mengambil tindakan untuk tidak keluar ke tempat-tempat awam yang sesak dan menghadiri perjumpaan awam demi untuk mengurangkan risiko untuk dijangkiti. Lebih-lebih lagi isteri yang mengandung merupakan kategori yang amat berisiko tinggi.

6.Jika dilihat, rakyat masih lagi mengambil tindakan ringan tanpa melihat ini sebagai satu yang membimbangkan oleh sebab langkah kerajaan yang dilihat seakan longgar dalam menentukan tindakan dan kurang berkesan.

7.Disini, saya ingin mencadangkan beberapa tindakan drastik untuk diperhalusi oleh pihak Kerajaan. Umpamanya :-

a) Mengisytiharkan darurat H1N1 serta sebagai ancaman utama Negara dan diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).
b) Menyelaraskan semua agensi-agensi Kerajaan dan swasta untuk bertindak secara proaktif dan menumpukan kepada usaha-usaha untuk mengekang secara serius dan holistik.
c) Menyeragamkan penutupan-penutupan tempat berisiko umpamanya universiti dan sekolah, tempat-tempat awam sepanjang tempoh darurat.
d) Memberi cuti sementara/cuti berbayar untuk golongan berisiko tinggi yang bekerja seperti ibu mengandung.
e) Mewajibkan rakyat untuk memakai topeng muka apabila keluar untuk menjalani kehidupan harian sekiranya perlu.
f) Memastikan keberkesanan Jabatan Penerangan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
g) Membatalkan semua perjumpaan awam yang melibatkan orang perseorangan/berkumpulan..
h) Mewajibkan semua masjid mengadakan solat hajat dan bacaan yasin memohon daripada Yang Maha Esa, untuk bukan islam ianya perlu dilakukan mengikut kepercayaan agama masing-masing.

8.Sememangnya, tindakan sebegini dilihat sebagai tidak untuk menggerakkan ekonomi Negara. Sebaliknya langkah drastik dan pencegahan sahaja yang mampu untuk membendung wabak ini daripada terus mengancam dan merebak.

9.Fahamilah isi hati rakyat yang telah kehilangan anggota keluarga akan kesan wabak ini dan jangan biarkan ia terus mengorbankan orang lain yang tidak berdosa. Marilah kita sama-sama mendoakan akan kesejahteraan Negara dan masyarakat dan semoga Allah hindarkan kita semua daripada wabak ini.

Wassalam

1 comment:

zakiesqandar said...

TPM tak cuti ka? kami di iic start cuti hr ni, seminggu.